Harimau Malaya kurang pemain berkualiti

Hamidin
Hamidin
A
A
A

KEKURANGAN pemain berkualiti antara 10 dapatan yang dikenal pasti badan siasatan bebas sebagai antara punca Harimau Malaya gagal beraksi dengan baik pada Kejohanan Piala Suzuki AFF 2020.

Perkara itu turut diakui Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berpandangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan FAM perlu segera duduk semeja dalam memastikan setiap kelab Liga Malaysia (Liga-M) menyediakan lebih ramai pemain berkualiti.

Justeru, beliau berharap, isu seperti kekurangan fasiliti di kelab-kelab selain masalah tunggakan gaji tidak boleh berlaku kerana mengganggu usaha melahirkan pemain berkualiti pada masa akan datang.

“Pelantikan jurulatih baharu tidak akan selesaikan prestasi secara keseluruhan (skuad Harimau Malaya) pada masa akan datang. Hasil daripada pemerhatian, saya mendapati Liga-M perlu ‘suapkan’ pemain berkualiti untuk dibawa ke skuad kebangsaan.“Masalah seperti tunggakan gaji, tiada padang yang memenuhi standard minimum atau gimnasium lengkap menyebabkan sebahagian pasukan tidak dapat mengeluarkan pemain berkualiti untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat lalu.

Dalam sidang media tersebut, Hamidin turut mengumumkan pengendali kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

Pelantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu itu dibuat selepas mengambil kira beberapa ciri-ciri yang dimahukan FAM, antaranya jurulatih itu mestilah seorang yang memahami budaya bola sepak Malaysia.

Artikel Berkaitan: