Sila log masuk terlebih dahulu.
Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pada Isnin.
Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pada Isnin.

[VIDEO] Ahmad Zahid tidak layak terima imuniti: Hakim

24 Januari 2022 | VIDEO
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menolak hujahan pembelaan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu menerima imuniti pendakwaan mahkamah.

Ketika memutuskan perkara itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam pertikaian bahawa Ahmad Zahid selaku tertuduh, layak untuk menerima kelebihan tersebut.

“Dalam keputusan di akhir pendakwaan, hujahan pembelaan bahawa tertuduh perlu diberi imuniti pendakwaan mahkamah, adalah tidak bermerit,” katanya.

Hakim Collin berkata demikian, susulan hujahan yang dibangkitkan peguam Hisyam Teh Poh Teik pada 6 September tahun lalu, menyatakan anak guamnya menuntut imuniti daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30 (7) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana Hisyam berkata, Ahmad Zahid sepatutnya menerima kekebalan, selepas mendedahkan maklumat berkaitan transaksi Yayasan Akalbudi dalam dua pernyataan pada 2 dan 3 Julai 2018.

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam satu daripada pernyataan berkenaan, Hisyam berkata, Ahmad Zahid mempunyai kekebalan terhadap 46 daripada 47 pertuduhan atau dengan kata lain, tertuduh tidak boleh didakwa.

Peruntukan dimansuhkan pada 1 Oktober 2018 menyatakan bahawa, sesiapa yang mendedahkan maklumat atau mengemukakan sebarang dokumen kepada pihak berkuasa, tidak akan didakwa.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran menyatakan, Ahmad Zahid tidak kebal daripada didakwa hanya kerana mendedahkan maklumat berkaitan Yayasan Akalbudi, yang dijalankan keluarganya.

Menurutnya, tuntutan tertuduh untuk kekebalan tidak boleh didengar oleh mahkamah kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk mengetepikan pertuduhan berdasarkan kekebalan.