'Itu tanda kelemahan pengurusan Harimau Malaya’

Skuad Harimau Malaya dibarisi pemain tempatan, kacukan dan naturalisasi pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya dibarisi pemain tempatan, kacukan dan naturalisasi pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu. - Foto FB FAM
A
A
A

KETIDAKHARMONIAN dalam kalangan pemain yang didakwa antara punca Harimau Malaya gagal menyerlah pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu menggambarkan kelemahan pihak pengurusan pasukan.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pengurusan skuad Harimau Malaya seharusnya dapat menghidu awal kewujudan ‘geng-geng’ berkenaan bagi mengelak impak lebih buruk.

“Sekiranya laporan bedah siasat itu mengatakan ada kumpulan-kumpulan pemain dalam skuad kebangsaan, ia jelas menggambarkan kelemahan pihak pengurusan sedia ada.

“Tetapi ia sepatutnya tidak terlalu memberi kesan besar jika ditangani segera. Ini kerana mungkin seorang pemain itu selesa untuk berkawan dengan seorang lagi pemain.

“Jadi bila berlakunya masalah yang lebih besar sehingga memberi kesan kepada prestasi pasukan, itu tandanya kelemahan daripada pengurusan pasukan kebangsaan.

“Sepatutnya masalah seumpama itu tidak berlaku jika pengurusan pasukan kebangsaan pantas mengambil sebarang tindakan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Jumaat lalu, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya mendapati kekurangan keharmonian dengan wujudnya kelompok pemain dalam skuad kebangsaan menjadi antara faktor prestasi hambar di Singapura.

Malah, pengerusi badan siasatan itu, Datuk Dell Akbar Khan mendedahkan Harimau Malaya mempunyai tiga ‘puak’ yang berpecah mengikut kumpulan - pemain tempatan, naturalisasi dan warisan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan kewujudan kelompok pemain berkenaan sebagai antara 10 dapatan badan siasatan bebas itu selepas menemuduga beberapa pihak pengurusan pasukan kebangsaan.

Pada masa sama, Dell Akbar yang juga bekas Setiausaha Agung FAM menggariskan 10 cadangan penambaikan untuk pertimbangan FAM supaya kegagalan sama tidak berulang pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Jamal Nasir berkata, setiap pemain yang dipilih menyarung jersi kebangsaan harus meletakkan nama Malaysia sebagai keutamaan mereka.

“Dalam hal ini, pemain-pemain harus bertindak sebagai satu keluarga... tak kiralah dari mana latar belakangnya sama ada pemain tempatan, kacukan atau naturalisasi.

“Masing-masing ada tanggungjawab untuk membawa nama Malaysia. Jangan ingat bila status pemain naturalisasi atau kacukan, mereka sudah ‘besar kepala’,” tegasnya.