Ops Carilamat bot karam di Teluk Ramunia ditamatkan

PATI yang terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Teluk Ramunia di sini awal pagi Khamis lalu.
PATI yang terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Teluk Ramunia di sini awal pagi Khamis lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat (Ops Carilamat) baki dua lagi pendatang tanpa izin (PATI) yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, dekat Kota Tinggi, ditamatkan pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Ops Carilamat itu ditamatkan pada jam 5 petang Ahad.

"Hasil penilaian terhadap situasi semasa pencarian serta persetujuan bersama-sama kesemua agensi terlibat, Ops Carilamat ditamatkan 5 petang tadi setelah pencarian selama empat hari (di perairan negeri) tidak menemukan mangsa yang masih hilang,” katanya menerusi satu kenyataan di pada Ahad.

Beliau bagaimanapun berkata, aset Maritim serta agensi lain yang melaksanakan rondaan harian di lapangan akan terus melakukan pemantauan serta melaporkan sebarang penemuan berkaitan mangsa sekiranya ditemui.

Nurul Hizam berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru turut merakamkan jutaan penghargaan kepada semua agensi serta komuniti Maritim yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu.

Dalam kejadian 4.50 pagi Khamis lalu, bot kayu yang membawa 27 pendatang asing dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, Indonesia, karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang.

Sebanyak 19 individu terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki selamat dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, enam mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan lima wanita warga Indonesia ditemukan lemas, dengan mangsa lelaki ditemukan pada Sabtu kira-kira lima batu nautika barat daya Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura, manakala dua lagi masih belum ditemukan sehingga kini. - Bernama

Artikel Berkaitan: