SC perlu perjelas adakah akaun dagangan Azam dibeli, dibayar adiknya

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) digesa menyatakan secara jelas sama ada akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah dibeli dan dibayar oleh adik beliau, Nasir Baki.

Dalam satu kenyataan bersama oleh gabungan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kenyataan SC secara jelas menyatakan akaun dagangan saham itu dikendalikan oleh Azam sendiri.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Transparency International Malaysia (TI-M), Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Rasuah Busters, Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Undi 18.

“Ia sekali gus bercanggah dengan kenyataan akhbar beliau sebelum ini yang menyebut akaun tersebut digunakan oleh adiknya bagi mengelakkan konflik kepentingan.

“Jika benar, perlu ada dokumen yang disempurnakan oleh beliau yang membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangannya.

“Sekiranya ini benar, maka Azam pada tahun 2015 di setiap masa yang berkenaan, selaku pengarah siasatan SPRM telah membeli saham melebihi RM100,000 yang mana ia melanggar peraturan ditetapkan kerajaan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Jelasnya, masih tiada pengesahan sama ada pengisytiharan aset telah dilaksanakan atau tidak sehingga kini.

Tambah kenyataan itu, tindakan mesti diambil sekiranya Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebenarnya telah melanggar pekeliling kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Demi akauntabiliti terhadap awam, penting untuk kerajaan menjelaskan agensi yang wajar dan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang melanggar pekeliling kerajaan, sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Sekiranya tidak terdapat sebarang kesan dan akibat tertentu daripada pelanggaran tersebut, kami menggesa prosedur yang sewajarnya dilaksanakan pada masa hadapan.

“Ini supaya lebih jelas untuk badan kerajaan yang bertanggungjawab memantau pematuhan peraturan tersebut bagi menjawab persoalan apakah jenis tindakan tatatertib yang diambil apabila seseorang didapati melanggar peraturan kerajaan?” katanya.

Mereka menegaskan, Azam perlu direhatkan sementara sehingga siasatan yang telus dapat membuktikan secara konklusif tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa beliau tidak melanggar mana-mana peraturan sebagai penjawat awam.

“Kami mengulangi desakan untuk siasatan bebas terhadap pembelian saham Azam kerana ini juga menimbulkan persoalan serius berhubung dengan konflik kepentingan yang berlaku dalam pembelian saham melibatkan anggota tertinggi SPRM.

“Transformasi SPRM yang dicadangkan oleh IDEAS, Majlis Peguam Malaysia, C4, dan TI-M pada 2015 untuk menjadikannya badan bebas di samping pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional hendaklah menjadi keutamaan.

“Ia bukan sekadar untuk meningkatkan keberkesanan SPRM tetapi untuk mengelakkan kes seperti Azam dan seumpamanya berulang pada masa akan datang,” jelasnya.