Ada mangsa banjir lambat terima bantuan kerana perlu pengesahan: PM

Ismail Sabri (tengah) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di Bera pada Ahad.
Ismail Sabri (tengah) bertanyakan sesuatu kepada mangsa banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di Bera pada Ahad.
A
A
A

BERA - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terdapat kelewatan agihan bantuan kepada mangsa banjir di negara ini kerana perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung atau ketua komuniti.

Menurut beliau, terdapat beberapa situasi menyebabkan pemberian bantuan itu tidak dapat dipercepatkan terhadap mangsa terlibat.

"Bagi mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) hampir 100 peratus selesai dan bakinya akan diselesaikan segera.

"Cuma untuk beberapa jenis bantuan lain termasuk mereka yang tidak berpindah perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua komuniti atau ketua kampung masing-masing," katanya dalam ucapan sempena lawatan Ziarah Prihatin Mangsa Banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di sini pada Ahad.

Ujarnya, ketua kampung atau pemimpin setempat perlu memainkan peranan mereka untuk perkara tersebut.

"Kalau di Selangor, mereka yang duduk di flat tingkat lima atau 10 tetapi dakwa terkesan kerana flat mereka terkena banjir.

Ismail Sabri (depan kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di Bera pada Ahad.
Ismail Sabri (depan kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di Bera pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu ketua kampung atau pun pemimpin masyarakat perlu memberikan pengesahan," jelasnya lagi.

Namun Ismail Sabri menegaskan, kelewatan itu tidak akan memakan masa lama seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu pemberian bantuan untuk membeli barangan rumah sebanyak RM2,500 akan diberikan bermula minggu depan.

"Bagi rumah rosak akibat banjir yang kurang daripada RM5,000 akan mendapat terus wang tunai," katanya.

Sementara itu, beliau juga memberitahu satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana Pusat akan diadakan pada minggu depan untuk melihat secara menyeluruh isu banjir di negara ini.

"Ini kerana setiap tahun berlaku banjir dan kerajaan perlu berbelanja besar dan kali ini mungkin mencecah RM6 bilion belum masuk kerosakan, dengan RM1.4 bilion sahaja untuk bantuan tunai secara terus.

"Kalau RM6 bilion banyak perkara kita boleh buat untuk kurangkan kesan banjir seperti tebatan banjir, lebarkan atau dalamkan sungai dan kalau tidak buat kerajaan perlu berbelanja hingga akhirnya menyusahkan rakyat," jelasnya.