Selepas 'jerung', 'bilis' juga jangan dibiarkan berkeliaran

Saleh (kiri) berkunjung ke pusat pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh Ikram Health semasa program Singgah Santun Rasuah Busters di Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka.
Saleh (kiri) berkunjung ke pusat pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh Ikram Health semasa program Singgah Santun Rasuah Busters di Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka.
A
A
A

ALOR GAJAH - Bukan sahaja rasuah melibatkan 'ikan besar' perlu ditangani sepenuhnya sebaliknya rasuah di peringkat 'bilis' juga perlu diberi perhatian utama oleh semua pihak.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan berkata, semua pihak perlu bekerjasama menangani perbuatan rasuah di peringkat rendah kerana ia juga menjejaskan kehidupan seharian rakyat.

Katanya, biarpun pelbagai usaha dilakukan demi menyokong usaha membanteras jenayah rasuah, namun sekiranya tiada elemen kerjasama, kesedaran serta pengetahuan, ia ibarat 'bertepuk sebelah tangan'.

"Kita tidak boleh memetik jari bagi mengharapkan rasuah lenyap dalam sehari, sebulan atau setahun.

"Jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara yang bebas rasuah, kita mesti bekerja bersama-sama merentas jurang politik untuk menjadikan rasuah tidak diterima masyarakat," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Datuk Saleh Mohd Dom sempena program Singgah Santun Konvoi #RasuahBusters di Dataran Keris, dekat sini.

Hadir sama Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Mengulas lanjut katanya, integriti merupakan aspek yang sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, isu integriti bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, sebaliknya ia merupakan satu konsep yang jauh lebih besar.

Sebagai contoh katanya, amalan budaya kerja cemerlang adalah berkait rapat dengan isu integriti.

Jelasnya, ketepatan mengikuti waktu bekerja, penyampaian maklumat, perkhidmatan, kerahsiaan maklumat, menepati janji serta pergaulan antara rakan sekerja merupakan antara amalan budaya kerja cemerlang yang berkait rapat dengan aspek integriti.

Katanya lagi, kehidupan seharian di dunia pastinya tidak akan dapat lari daripada berinteraksi dengan masyarakat, sama ada dalam urusan rasmi mahu pun urusan tidak rasmi.

Saleh (tiga dari kiri) bergambar kenangan pada program Singgah Santun Konvoi #RasuahBusters di Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka.
Saleh (tiga dari kiri) bergambar kenangan pada program Singgah Santun Konvoi #RasuahBusters di Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka.

"Apa lagi sebagai penjawat awam, sememangnya merupakan satu amanah untuk kita (MPAG) memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para stakeholders (pemegang saham) yang terdiri daripada orang ramai, para peniaga, pelabur asing serta ahli-ahli pentadbiran.

"Bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa dipercayai dan cemerlang, setiap penjawat awam mesti mempunyai tahap integriti yang tinggi.

"Maka di situlah rakyat akan menikmati hasil sebenar perkhidmatan berkualiti yang disampaikan oleh penjawat awam," katanya.

Tambahnya lagi, anggota swasta yang meliputi syarikat berkepentingan kerajaan juga tidak terkecuali dalam isu integriti tinggi dan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat ketika mana menjalankan urusan perniagaan.

Tegasnya, konsep syarikat beroperasi bertujuan membuat keuntungan tidak seharusnya diertikan dengan konsep berurusanlah dengan apa cara sekali pun asalkan syarikat mendapat untung.

"Sesungguhnya organisasi yang tidak mementingkan integriti dalam setiap urusan harian, pastinya ia tidak akan bertahan lama," katanya.