Sila log masuk terlebih dahulu.

Khidmat tukar minyak enjin percuma setiap Jumaat

Shikh Muhammad Makhdad (kanan) dibantu pekerjanya ketika menukar minyak hitam secara percuma,pada setiap Jumaat.
Shikh Muhammad Makhdad (kanan) dibantu pekerjanya ketika menukar minyak hitam secara percuma,pada setiap Jumaat.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pemilik bengkel kereta menyediakan perkhidmatan menukar minyak enjin kereta secara percuma di bengkelnya, Makdad Workshop, pada setiap hari Jumaat.

Shikh Muhammad Makhdad Haron, 49, berkata, sejak tahun 2017, dia telah menyediakan perkhidmatan tersebut dan pengguna hanya perlu membawa minyak hitam sendiri manakala perkhidmatan menukar minyak hitam dilakukan tanpa sebarang caj pada hari itu.

Menurutnya, perkhidmatan percuma itu kini diperluaskan ke dua buah bengkel iaitu di Mustafa Workshop terletak di Kampung Rim, Jasin dan bengkel rakannya, AMK Auto Care di Industri Kecil Sederhana (IKS) Duyong, Melaka.

Katanya, perkhidmatan percuma lain yang diberikan termasuk tukar minyak gear auto atau manual, tukar filter, tukar brek pad hadapan serta pemeriksaan komponen-komponen kereta.

"Berbekalkan pengalaman, tenaga dan kemahiran yang ada, saya terpanggil untuk membantu masyarakat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Sejak lima tahun berkongsi rezeki seperti ini, saya tak pernah menyesal, malah lebih bersemangat sehingga rakan serta adik saya yang juga pemilik bengkel turut tertarik untuk melakukan perkara sama bermula dua minggu lalu," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Shikh Muhammad Makhdad berdiri di hadapan bengkel kereta miliknya yang terletak di Gangsa, Durian Tunggal.
Shikh Muhammad Makhdad berdiri di hadapan bengkel kereta miliknya yang terletak di Gangsa, Durian Tunggal.

Tambahnya, setiap Jumaat dianggarkan lebih 10 buah kereta pelbagai jenis datang ke bengkelnya dan masa perkhidmatan juga dipanjangkan sehingga 5 petang berbanding sebelum ini setakat 12 tengah hari sahaja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak lima tahun memberikan khidmat percuma itu, ALLAH SWT menambah rezeki untuk dia meneruskan kerja-kerja kebajikan selain mempunyai pelanggan yang ramai terdiri daripada pelbagai bangsa.

"Sepanjang tempoh itu juga beberapa peristiwa yang menyentuh hati termasuk bengkel saya didatangi seorang peniaga pasar tani yang telah lama tidak menukar minyak hitam kerana kekangan kewangan hinggakan lampu minyak hitam bernyala.

"Saya bantu dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan sebarang balasan," katanya yang mengusahakan bengkel di Gangsa, Durian Tunggal sejak tahun 1995.

Dia berkata, mungkin bagi segelintir orang menganggap hanya pertolongan biasa namun bagi mereka yang terdesak dan kesempitan untuk membayar perkhidmatan tukar enjin minyak percuma tahu menghargainya dan sekurang-kurangnya menjimatkan wang mereka sebanyak RM50.

Katanya, di bengkel itu tabung untuk pelanggan menghulurkan sumbangan seikhlas hati turut disediakan dan wang itu akan digunakan bagi membantu orang lain termasuk projek kereta RM1.