X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Beberapa individu anjur perhimpunan ditahan polis

Gambar dari akaun Twitter dengan nama @TangkapAzamBaki memaklumkan, mereka telah diserbu oleh pihak polis di Restoran Amjal Bangsar.
A
A

SHAH ALAM - Beberapa individu yang menghadiri satu ceramah mengenai kempen mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap telah ditahan sebentar tadi.

Sepasukan anggota polis telah menyerbu Restoran Amjal di Bangsar pada jam 11:58 malam.

Menurut satu ciapan di Twitter milik @jayjaydenis berkata, pihak polis telah menahan mereka sebelum keluar daripada restoran tersebut.

“Terkini: Sekumpulan pegawai dan anggota polis telah menahan kami daripada pulang dari Restoran Amjal, Bangsar.

“Semua di sini dipaksa serah kad pengenalan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu.

Dalam pada itu, satu akaun Twitter dengan nama @TangkapAzamBaki memaklumkan, mereka telah diserbu oleh pihak polis.

“Pentas ceramah #TangkapAzamBaki di Restoran Amjal diserbu oleh polis. Beberapa orang telah ditahan. Jangan tangkap rakyat! #TangkapAzamBaki !!,” ujarnya.

Semalam, seramai 16 individu termasuk lima pemimpin politik diambil keterangan berhubung penganjuran perhimpunan itu

Tanpa menamakan individu berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, kesemua mereka dipanggil bagi siasatan lanjut mengikut peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum itu, polis mengambil keterangan aktivis sosial, Adam Adli bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penganjuran perhimpunan berkenaan.

Adam hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 2.30 petang dan selesai diambil keterangan selepas 30 minit

Adam berkata, dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang diambil keterangan dan perhimpunan itu tetap akan diadakan dan dia yakin akan berlangsung secara aman.

Dalam pada itu, polis akan menutup enam jalan utama dan memberhentikan operasi di beberapa buah stesen di transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel, dan KTM Komuter di sekitar ibu kota.

Penutupan tersebut bermula pada jam 7 pagi hingga satu masa yang akan diberitahu kelak.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!