Penganjur himpunan #TangkapAzamBaki tukar lokasi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap yang dijadual berlangsung Sabtu ditukar ke kawasan Bangsar, Kuala Lumpur.

Ia dipercayai susulan perintah larangan dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melarang perhimpunan sekitar Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka, selama tujuh hari bermula Khamis.

Penganjur himpunan yang menamakan mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, himpunan akan tetap diteruskan.

"Himpunan #TangkapAzamBaki akan diteruskan di bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar,"katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kumpulan itu turut mendakwa himpunan itu disokong oleh 33 buah NGO dan 11 buah organisasi politik dan akan berlangsung secara aman dengan menepati prosedur operasi standard (SOP) bagi meminimumkan penyebaran Covid-19.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, juga dilaporkan berkata enam jalan utama di ibu negara turut dilencongkan bermula jam 7 pagi Sabtu sehingga perhimpunan berkenaan selesai.

Lencongan itu membabitkan Jalan Kucing, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

Stesen Transit Aliran Massa (MRT), LRT, monorel dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga turut menghentikan sementara operasi di beberapa stesen dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi dalam tempoh sama.

Artikel Berkaitan:

Ia membabitkan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling (enam stesen), LRT Laluan Kelana Jaya (empat stesen), MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (tiga stesen), monorel (sembilan stesen) dan KTM (tiga stesen).

Seramai 1,010 anggota serta pegawai IPD Dang Wangi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman akan digerakkan bagi memantau pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat di lokasi perhimpunan.