FAM pilih 'oppa' kendali Harimau Malaya

Kim Pan-gon
Kim Pan-gon
A
A
A

[DIKEMASKINI] PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM), mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Menurut Hamidin, pelantikan Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu itu dibuat selepas mengambil kira beberapa ciri-ciri yang dimahukan FAM antaranya adalah bakal jurulatih itu mestilah seorang yang memahami budaya bola sepak Malaysia.

Katanya, Pan-gon akan hadir bersama empat staf teknikal iaitu pembantu jurulatih, jurulatih penjaga gol, pegawai kecergasan dan penganalisis yang mana akan diberi kontrak selama dua tahun dan akan disambung selama dua tahun lagi sekiranya mempamerkan prestasi yang bagus.

“Pemilihan Pan-gon ini dibuat selepas penilaian menyeluruh ke atas calon-calon dari pelbagai negara termasuk dari Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika Latin serta dalam negara.

“FAM merasakan bahawa Pan-gon merupakan calon terbaik untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai jurulatih di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, selain berada dalam sistem pasukan kebangsaan Republik Korea dalam tempoh empat tahun terakhir ini.

“Selain itu kemampuannya yang fasih berbahasa Inggeris memudahkan beliau untuk berkomunikasi selain beliau juga memiliki pengetahuan serta cukup memahami budaya bola sepak di Asia dan juga Asia Tenggara antara sebab kami memilihnya,” katanya dalam Sidang Media Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal pertama 2021/2025 pada Jumaat.

Untuk rekod Pan-gon ketika ini merupakan Pengarah Pasukan Kebangsaan di Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) sejak tahun 2018 yang mana beliau pernah memegang jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong dari 2009-2010 dan 2012-2017.

Dalam pada itu, Hamidin menafikan dakwaan bahawa badan induk bola sepak negara itu melantik pengendali berbangsa Korea disebabkan trend semasa di Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya kita sudah mengkaji Pan-gon terlebih dahulu sebelum ambil keputusan melantik dia untuk mengemudi pasukan kebangsaan. Kita lihat dia ada kualiti untuk menaikkan semula pasukan negara di rantau ini.

“Jadi pelantikan Pan-gon tidak ada kaitan dengan trend semasa seperti dilakukan oleh beberapa negara di Asean,” katanya.