KASA sudah siapkan kerangka undang-undang perubahan iklim

Gambar hiasan - Bernama, gambar kecil: Tuan Ibrahim Tuan Man
Gambar hiasan - Bernama, gambar kecil: Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyiapkan kerangka undang-undang perubahan iklim pada Disember tahun lepas yang akan menjadi asas kepada penggubalan Rang Undang-undang Perubahan Iklim negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara kandungan rang undang-undang itu ialah tadbir urus yang mengandungi peruntukan mengenai kerangka institusi mengenai perubahan iklim negara dan pembentukan sebuah jawatankuasa perubahan iklim.

"Pembentukan jawatankuasa itu bagi memastikan bahawa adaptasi perubahan iklim dapat dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir dan sebagainya.

"Selain itu kandungan rang undang-undang berkenaan adalah mitigasi perubahan iklim dan mekanisme pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang kita bina,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

September lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, kementerian itu sedang merangka peraturan serta akta bagi mengawal perubahan iklim dan pemanasan global yang melanda negara.

Menurut Tuan Ibrahim tindakan itu diambil memandangkan Malaysia belum mempunyai akta seperti itu dan beberapa mekanisme dirancang untuk melaksanakannya.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh seketika semasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menggulung perbahasan mengenai situasi banjir penghujung tahun lalu.

Beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang antaranya Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) dan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangkit mencelah kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Abd Latiff.

Keadaan menjadi lebih "hangat” apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bangun membela Dr Abd Latiff dengan lantang berkata Ahli Parlimen blok pembangkang seakan membuli menteri.
Artikel Berkaitan:


"They are bullying the minister. This is not fair (Mereka membuli menteri. Ini tidak adil),” kata Tajuddin sehingga menghalang celahan Hannah Yeoh (PH-Segambut) yang ingin meminta penjelasan mengenai punca kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Situasi tegang itu, kemudiannya ditenangkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mengarahkan kesemua Ahli Parlimen terlibat duduk dan memberi laluan kepada Dr Abd Latiff meneruskan ucapan penggulungannya.- Bernama