RMC rancang konvoi jelajah Malaysia

A
A

Cadang kumpul keahlian baharu

MEREKA bermula sebagai kumpulan kecil pemilik motosikal chopper yang berkongsi minat menunggang santai untuk ‘seronok-seronok’ sambil beriadah sesama rakan.

Kumpulan ini dikenali sebagai Reappear MC (RMC). RMC ditubuhkan atas matlamat untuk mengumpulkan seberapa banyak pemilik motosikal daripada pelbagai jenis motor daripada kategori chopper yang berkapasiti 600cc ke atas dalam berkongsi minat yang sama.

Antaranya adalah Harley Davidson, Kawasaki, Yamaha, Honda, Victory dan sebagainya.

Komited, aktif

Daripada jumlah kecil, melalui perkongsian di Facebook, jumlah keahlian bertambah. Ada kira-kira 50 ahli ketika itu, namun ramai antaranya tidak aktif. Itu kisah permulaan.

Kini kumpulan itu semakin mantap dan ramai yang menunjukkan minat untuk menjadi ahli. Namun, keanggotaan dihadkan agar tidak terlalu ramai sehingga kumpulan sukar diurus. Selain itu, RMC mahu memastikan hanya mereka yang benar-benar komited kepada kelab dan aktivitinya sahaja diterima. Sebagai langkah awal, ahli kelab telah mendaftarkan RMC secara sah.

Matlamatnya agar dapat bergerak dengan lebih sistematik, sama ada dari segi pengurusan atau perancangan serta pelaksanaan aktiviti. Presidennya Mohd Helmy Azizan berkata, dengan adanya kelab berdaftar dan struktur pentadbiran yang sistematik, mereka akan dapat bergerak secara tersusun dalam melaksanakan pelbagai aktiviti.

 Helmi
Helmi

“Usaha menambah ahli, kami akan laksanakan secara berperingkat selepas mesyuarat agung pertama tidak lama lagi.

“Kita mahukan ahli-ahli yang berdedikasi kepada kelab dan setiap aktiviti yang dijalankan. Kita tak mahu yang ada nama dalam kelab sahaja,” katanya.

Ujar Helmy, antara matlamat utama RMC ialah mahu memupuk ukhuwah dan silaturahim semua pemilik motosikal berkuasa besar, khususnya chopper.

"Selain itu, membantu sesama ahli atas sifat persaudaraan, menceburi bidang perniagaan, menjalankan aktiviti amal serta mendidik cara penunggangan motosikal secara berhemah," katanya lagi.

Manfaat

Di samping berkongsi minat yang sama, setiap ahli juga berpeluang berkongsi dan bertukar pendapat untuk menambah baik atau mengubahsuai jentera mengikut kesesuaian dan cita rasa pemilik sendiri. Istimewanya RMC ini kata Helmy, ia terdiri daripada kru yang mempunyai bakat masing-masing dalam membaik pulih dan pembikinan kreatif motor.

Dalam pada itu, Helmy berkata, walaupun baru setahun jagung ditubuhkan, kelab terus bergerak aktif dan sentiasa memikirkan cara untuk merapatkan silaturahim ahli.

"Hasilnya, RMC aktif menganjurkan dan menyertai program yang melibatkan industri permotoran.," katanya.

Antara program yang telah disusun atur bagi tahun 2019 adalah Ride Jelajah Malaysia 2019 bersama bikers dari Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei; Jelajah Eropah; Ride ASEAN Agro, Ride Pantai Timur, Jelajah Sabah, dan Ride Terengganu Bike Week 2019.

 Azahar
Azahar

Bukan sekadar mempunyai minat terhadap dunia permotoran, RMC juga bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan ahli dengan menyediakan skim insurans tahunan kepada setiap ahli. RMC sememangnya sebuah kelab yang masih baharu tetapi berbesar hati dan mengalu-alukan penyertaan ahli baharu. Sesiapa sahaja yang berminat boleh terus ke FB page Reappear MC.