X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Waris SK Assumption mohon tempoh setahun lagi

Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption - Foto Bernama
A
A

BUTTERWORTH - Waris murid Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Jalan Bagan Dalam, dekat sini, memohon pihak pemilik tanah sekolah itu untuk memberikan tempoh selama setahun, bagi memberi ruang kepada mereka bagi menguruskan hal berkaitan perpindahan sekolah anak-anak, setelah sekolah itu ditutup secara rasmi kelak.

Seorang suri rumah Che Su Tahar, 42, berkata, meskipun mengetahui tarikh sekolah itu yang sudah beroperasi sejak tahun 1933 akan ditutup pada 28 Februari depan, dirinya mengakui memerlukan masa untuk mencari sekolah yang sesuai buat anak lelakinya yang berusia 8 tahun.

"Dekat sini (Bagan Dalam) memang ada sekolah lain antaranya SK Kuala Perai, SK St Mark dan SK Sungai Nyior, tapi saya sifatkan tidak sama dengan SK Assumption sebab tenaga pengajar yang ada di sekolah ini berkualiti, kebajikan murid memang terjaga, malah prestasi anak juga meningkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan sekolah tersebut di sini, pada Selasa.

Katanya, meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan dari Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah itu, antaranya menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang supaya segera meluluskan pendaftaran lembaga pengelola sementara untuk SK Assumption, dalam usaha menyelamatkan sekolah berkenaan, namun pihaknya akur jika pemilik tanah sekolah itu tetap dengan pendirian untuk menutup sekolah berkenaan, mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

"Nak buat macam mana, kita akur lah walaupun berat. Tapi kalau boleh jangan mendadak sangat. Sekurang-kurangnya beri peluang kepada waris untuk selesaikan urusan perpindahan sekolah anak-anak untuk tempoh setahun lagi,” katanya yang tinggal di Rumah Pangsa Sri Bagan, Jalan Bagan Dalam, di sini.

Sementara itu, seorang jurutera Shahrizan Sickandar, 42, merasakan sekolah tersebut sepatutnya dipelihara warisannya berikutan hampir 90 tahun beroperasi, dan mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.

"Dari segi mutu pendidikan sekolah ini dah buktikan. Kawan-kawan saya semua (pernah bersekolah di SK Assumption) terdiri dalam kalangan profesional. Anak saya yang kini darjah satu banyak peningkatan, di mana sebelum ni tak banyak bercakap tapi disebabkan fokus guru anak saya boleh bercakap,” katanya.

Seorang lagi suri rumah empat anak Nazirah Mohd Salihu, 43, berharap agar pihak berkaitan perlu meneliti keputusan untuk menutup sekolah tersebut dengan lebih mendalam, demi kesejahteraan kedua-dua belah pihak.

"Kalau nak tutup pun jangan hapuskan nama Assumption. Buat sekolah menengah Assumption (lelaki) pun boleh, sebab kawasan ini tiada sekolah untuk pelajar lelaki,” katanya.

Pada 9 Januari lepas, media melaporkan bahawa lesen sekolah berkenaan akan dibatalkan selepas penutupannya, kerana pemilik tanah persendirian Sri Avenue Sdn Bhd telah meminta tanah dan bangunan tersebut dikembalikan kepada pihak mereka, secepat mungkin.

Pasukan petugas bersama ‘Save Assumption School’ telah menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, supaya segera meluluskan pendaftaran lembaga pengelola sementara untuk SK Assumption, dalam usaha menyelamatkan sekolah berkenaan.

Jurucakapnya, Vernon Fernandez berkata, lembaga pengelola sementara yang terdiri daripada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Alumni Assumption Butterworth dan pemilik tanah, telah dibentuk tahun lepas sebagai platform untuk menyelesaikan isu sekolah dan premis itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!