Biadab! Penyerang masjid tunjuk simbol 'White Power'

Tarrant menunjukkan simbol 'White Power' ketika di bawa ke mahkamah, hari ini.
Tarrant menunjukkan simbol 'White Power' ketika di bawa ke mahkamah, hari ini.
A
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Brenton Tarrant pengganas kulit putih yang menyasarkan dua masjid di Christchurch muncul di Mahkamah Daerah Christchurch, hari ini.

Dalam kejadian semalam, 49 jemaah masjid terbunuh dan puluhan lagi kritikal.

Berbaju putih dan bergari, Tarrant, 28, berdepan dakwaan membunuh.

Ketika dibawa masuk ke kamar mahkamah, Tarrant melemparkan senyuman sinis, malah riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang penyesalan.

Lebih biadab, lelaki warga Australia itu turut menunjukkan simbol 'OK' terbalik yang membawa maksud 'White Power'.

Kemunculannya di kandung tertuduh hanya bertahan selama 60 saat sebelum dibawa ke penjara sehingga dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 April.

Setakat ini, Tarrant berdepan satu dakwaan membunuh, namun hakim Paul Kellar berkata Tarrant bakal berdepan banyak lagi pertuduhan selepas serangan berskala besar, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Tarrant memuat naik manifesto setebal 73 muka surat mengandungi alasan mengapa dia melakukan jenayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Manifesto ‘The Great Replacement’ menggambarkan Tarrant mengagung-agungkan ketuanan kulit putih dan kebencian maksimumnya terhadap Islam.

Serangan itu juga bertujuan mengurangkan populasi pendatang asing .

Tarrant turut menyenaraikan alasan, penurunan kadar kelahiran orang kulit putih di Barat dan pengambilalihan demografi oleh umat Islam sebagai pemacu utama di sebalik tindakannya.

Katanya, dia juga mahu membalas dendam atas kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Ebba Akerlund yang terbunuh dalam serangan rempuhan trak di Stockholm, Sweden pada 2017.

Namun, ibu kanak-kanak terbabit Jeanette Akerlund mengutuk serangan itu dan menegaskan serangan berdarah di Christchurch bertentangan dengan pendirian anaknya yang sentiasa menyebarkan kasih sayang. - Agensi