Tiada permohonan anjur himpunan di Dataran Merdeka

Noor Dellhan Yahaya
Noor Dellhan Yahaya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka di bawah peruntukkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya ada menerima maklumat berhubung ada pihak tertentu akan mengadakan perhimpunan di ibu negara dalam masa terdekat.

"Ada pihak tertentu yang sentiasa mengambil peluang untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan yang sebenarnya jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa empat.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang permohonan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noor Dellhan berharap masyarakat memahami kepentingan mematuhi SOP PPN Fasa Empat dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan mengelak berada di kelompok ramai.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, media melaporkan tular satu poster di media sosial mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap dan SPRM dirombak.

Pada poster itu tertera perkataan 'Tangkap Azam Baki' dan 'Rombak SPRM' selain tarikh 22 Januari 2022 iaitu pada Sabtu ini dan 'Kuala Lumpur'.

Artikel Berkaitan: