Tiga beranak maut nahas jalan raya malam tadi

Shamsuri
Shamsuri
A
A
A

MACHANG — Seorang bapa dan dua anak maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 1.9 , Jalan Machang-Pasir Puteh di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.50 malam itu, penunggang motosikal, Mohd Azni Mohd Zakri, 34; anak lelakinya, Muhammad Aryan Ziqri, 7 dan anak perempuan, Nur Amna Nafeesa, 5 maut di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, kedua-dua kanak-kanak tersebut membonceng motosikal bapanya di bahagian belakang dan hadapan pada kejadian yang berlaku di simpang tiga Pejabat Tanah dan Jajahan Machang itu.

Katanya, tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Machang ke Kampung Kolam Abu sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah bas ekpress dalam laluan yang sama, dalam perjalanan ke Jerteh, Terengganu.

"Siasatan awal mendapati mangsa dilanggar dari arah belakang ketika cuba membelok ke kanan di simpang berkenaan dan akibat perlanggaran tersebut, kesemua mereka tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh sebuah lori dari arah Pasir Puteh -Machang.

"Berikutan kemalangan tersebut, kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Shamsuri, kesemua mangsa maut dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: