Djokovic terlepas peluang bermain di Terbuka Australia

Novak Djokovic terlepas peluang bermain di Terbuka Australia apabila mahkamah Australia menolak rayuannya terhadap perintah pengusiran dari negara itu. -Foto EPA
Novak Djokovic terlepas peluang bermain di Terbuka Australia apabila mahkamah Australia menolak rayuannya terhadap perintah pengusiran dari negara itu. -Foto EPA
A
A
A

BINTANG tenis dari Serbia Novak Djokovic terlepas peluang bermain di Terbuka Australia apabila mahkamah Australia menolak rayuannya terhadap perintah pengusiran dari negara itu, menurut media tempatan pada Ahad.

Mahkamah Persekutuan dengan panel tiga hakim membuat keputusan sebulat suara terhadap Djokovic pada Ahad, selepas mendengar sabitan kesnya, Agensi Anadolu (AA) memetik Australian ABC News.

Djokovic ditahan pada Sabtu selepas pegawai Australia membatalkan visanya buat kali kedua.

Menteri Imigresen Alex Hawke pada hari Jumaat berkata: "Hari ini, saya menggunakan kuasa saya di bawah seksyen 133C(3) Akta Migrasi untuk membatalkan visa yang dipegang Novak Djokovic atas alasan kesihatan dan ketenteraman, atas dasar kepentingan awam untuk berbuat demikian."

Pada 4 Januari, Djokovic, berkata beliau telah diberi pengecualian daripada menerima suntikan vaksin Covid-19, tetapi Pasukan Sempadan Australia bertindak membatalkan visanya kerana gagal memenuhi syarat kemasukan berkaitan Covid-19.

Sebelum ini pemain nombor satu dunia itu dihantar ke hotel tahanan imigresen di Melbourne, tetapi mahkamah persekutuan memerintahkan beliau dibebaskan.

Australia mewajibkan semua pemain yang bersaing dalam kejohanan tenis itu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, namanya tersenarai dalam cabutan rasmi saingan Terbuka Australia pada Khamis. - Bernama

Artikel Berkaitan: