Jumpa anak buaya ketika bersih longkang

Anak buaya yang ditemukan berhampiran OUM, di Bukit Tunggal, di Kuala Nerus. Foto: Ihsan pembaca
Anak buaya yang ditemukan berhampiran OUM, di Bukit Tunggal, di Kuala Nerus. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMASKINI] Kakitangan sebuah universiti swasta di sini terkejut apabila menemukan seekor anak ketika membersihkan longkang di tepi bangunan universiti di Bukit Tunggal, di sini.

Pembantu Am, Ahmad Ismail Salleh, 33 berkata, reptilia berukuran 0.3 meter itu ditemukan berada di lokasi itu kira-kira jam 11 pagi, Ahad minggu lalu.

Katanya, dia bersama Penolong Pegawai OUM, Ahmad Solahuddin Abdullah, 35 sedang mencuci longkang di kawasan itu sebelum ternampak objek yang bergerak-gerak di dalam longkang di tepi bangunan universiti.

"Pada mulanya kami menyangka anak biawak atau mainan budak yang bentuknya seakan buaya namun selepas tolak objek itu menggunakan ranting kayu, barulah kami kenal pasti ia anak buaya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut Ahmad Ismail, anak buaya itu berjaya ditangkap menggunakan ranting sebelum dilepaskan ke kawasan sungai di belakang universiti itu pada hari yang sama.

Anak buaya yang ditemukan di kawasan longkang Open University Malaysia (OUM) Terengganu di Bukit Tunggal, Kuala Nerus. Foto: Ihsan pembaca
Anak buaya yang ditemukan di kawasan longkang Open University Malaysia (OUM) Terengganu di Bukit Tunggal, Kuala Nerus. Foto: Ihsan pembaca

Katanya, perkara itu tidak dilaporkan ke mana-mana agensi memandangkan ia hanya seekor anak buaya yang masih kecil dan tidak berupaya mengancam nyawa.

"Kami tak laporkan kepada mana-mana pihak sebab lepas tangkap dan ambil gambar sebagai bukti kami lepaskan anak buaya itu ke kawasan sungai," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Gambar penemuan anak buaya yang dimuat naik menerusi status di laman sosial Facebook OUM pada Jumaat lalu tular di media sosial.

Menurut status itu, timbul persoalan bagaimana anak buaya tersebut boleh berada di situ itu dan dikhuatiri terdapat ibu reptilia itu di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, orang ramai disarankan segera membuat laporan sekiranya menemui sebarang haiwan liar bagi memudahkan tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, anak buaya yang ditemui kakitangan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu dipercayai daripasa spesies buaya tembaga.

Pada Jun tahun lalu, Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memindahkan seekor buaya tular digelar Mamat setelah haiwan itu memasuki jerat yang dipasang di kawasan lombong tinggal di Tepoh, di sini.

Buaya tembaga berukuran kira-kira 3.7 meter itu ditangkap 17 kakitangan Perhilitan dan dipindahkan ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor.