Warga tempatan jadi pemburu harimau

Dianggarkan kurang daripada 150 ekor Harimau Malaya yang masih hidup.
Dianggarkan kurang daripada 150 ekor Harimau Malaya yang masih hidup.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menafikan terdapat penglibatan warga tempatan sebagai pemburu haram sehingga menyumbang kepada kepupusan Harimau Malaya atau nama saintifiknya, panthera tigris jacksonii.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah terbaharu Harimau Malaya yang direkodkan berada di dalam hutan negara ketika ini adalah kurang daripada 150 ekor, sekali gus mencatatkan penyusutan ketara.

Beliau berkata, kegiatan pemburuan haram spesies haiwan berkenaan tidak boleh dipandang ringan dan perlu tindakan segera.

Abdul Kadir
Abdul Kadir

“Harimau Malaya merupakan lambang keberanian, kekuatan dan kebanggaan negara.

“Ia boleh dilihat pada Jata Negara, logo pasukan bola sepak kebangsaan, simbol kenderaan pertama negara iaitu Proton, perbankan (Maybank) dan banyak lagi.

“Bagi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam trend pengurangan drastik populasi Harimau Malaya, ingatlah bahawa anda ialah pengkhianat negara dan perompak khazanah paling bernilai di negara kita,” katanya kepada Sinar Ahad.

Abdul Kadir berkata, Harimau Malaya adalah satu-satunya subspesies harimau di dunia dan mendiami hutan di Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka yang terlibat dalam jenayah itu disifatkan sebagai individu tamak yang secara tidak langsung menurunkan bilangan hidupan liar itu di hutan.

“Kita akan meneruskan penguatkuasaan membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia terutamanya Harimau Malaya daripada menjadi mangsa pemburuan dan ancaman kepupusan.

“Justeru, masyarakat diminta untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan pembabitan mana-mana pihak dalam kegiatan pemburuan haram.

“Ia menjadi satu amaran yang jelas kepada mana-mana individu yang ingin terus menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar agar dapat menghentikannya atau bakal berhadapan tindakan undang-undang yang tegas daripada kerajaan,” ujar beliau.