Rasuah Busters jenama inisiatif perangi rasuah

Hussamuddin (empat dari kanan) ketika melancarkan kempen 100 Juta Langkah Menentang Rasuah pada April tahun lalu.
Hussamuddin (empat dari kanan) ketika melancarkan kempen 100 Juta Langkah Menentang Rasuah pada April tahun lalu.
A
A
A

GENAP setahun lalu, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub mengumumkan satu inisiatif memerangi gejala rasuah yang masih belum berkesudahan dengan Sinar Harian memimpin usaha menubuhkan Sinar Rasuah Busters.

Ketika itu, Hussamuddin menekankan bahawa buat masa ini, pasukan khas tersebut akan melibatkan kakitangan Sinar Harian.

Dalam beberapa hari, ekoran sambutan yang memberangsangkan inisiatif itu telah dibuka kepada orang awam.

Sambutan positif itu terus berkembang sehingga ke hari ini.

“Kita mahu ‘peperangan’ menentang rasuah sebab sudah berpuluh tahun ia berlaku, namun rasuah semakin teruk. Jadi saya merasakan sudah tiba masanya Sinar Harian melibatkan orang ramai untuk membantu membanteras rasuah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia sama-sama menjadi Rasuah Busters, melaporkan setiap rasuah dikesan agar orang takut untuk memberi atau mengambil rasuah.

Selepas setahun, idea itu terus berkembang menjadi satu usaha rakyat dengan turut disokong oleh pelbagai organisasi media dan lebih 400 anggota pertubuhan masyarakat madani dan bukan kerajaan bagi membolehkan usaha memerangi rasuah merentasi pelbagai lapisan.

Hari ini, Rasuah Busters sudah menjadi satu jenama yang dinamik, diterima ramai dan diletakkan harapan demi memupuk semangat antirasuah dan melahirkan sebuah negara yang bebas rasuah.

Artikel Berkaitan:

Bermula dari kempen ‘Mak Kata Jangan’ versi pertama dan kemudian kemunculan versi kedua tujuh bulan kemudian.

Video empat orang kanak-kanak pelbagai agama dan kaum melahirkan harapan mereka agar dijauhi daripada rasuah, menerusi empat video berasingan yang dihasilkan sempena Hari Kebangsaan 2021 juga menarik perhatian jutaan rakyat.

Pada 11 September lalu, Rasuah Busters bersama anggota gabungan membentangkan enam tuntutan terhadap kerajaan dan ahli politik.

Kesemua tuntutan itu sebagai transformasi nilai melalui inisiatif politik #MalaysiaTanpaRasuah.

Antara tuntutan itu ialah pelaksanaan dan sokongan penuh ke atas Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik dan kebebasan serta ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Enam tuntutan usaha buat julung kali dibentangkan oleh Bersih 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Center to Combat Corruption & Cronysm, Transparency International Malaysia, Institute for Democracy and Economic Affairs dan Undi18.

Seminggu sebelum itu, Rasuah Busters juga telah mengeluarkan surat terbuka meminta kesemua wakil rakyat terutama ahli-ahli Parlimen menjadikan ‘Penghapusan Rasuah Sebagai Agenda Negara’ - agenda penting di Parlimen.

Antara aktiviti yang dijalankan pasukan Rasuah Busters dalam memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menolak rasuah.
Antara aktiviti yang dijalankan pasukan Rasuah Busters dalam memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menolak rasuah.

Susulan itu, sisi pertemuan dalam bentuk kumpulan kecil telah diadakan bersama wakil rakyat, yang menariknya wakil rakyat yang ditemui juga melahirkan sokongan ke atas usaha melahirkan negara bebas rasuah.

Syabas dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu sejak Rasuah Busters lahir.

Gandingan organisasi media secara langsung sebagai rakan kongsi dan secara tidak langsung dalam menyebar luas mesej Rasuah Busters telah membawa kelainan yang amat berbeza sama sekali. Ini juga satu kesan positif yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Tidak dapat dinafikan ada pihak yang secara sinis mengatakan apakah yang telah dicapai oleh Rasuah Busters.

Sementara kesan tampak terlalu awal untuk dikongsi, namun keanggotaan lebih 400 dalam Coalition of the Willing bagi tempoh yang singkat, dalam masa enam bulan dengan sendiri menunjukkan bahawa impak yang diharapkan sudah mula kelihatan.

Setiap anggota telah menzahirkan keperluan dan kepentingan menyemai semangat memerangi rasuah secara habis-habisan.

Perkembangan yang membanggakan, mereka telah memainkan peranan signifikan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Penerimaan Konvoi Rasuah Busters di bawah mesej Malaysia Tanpa Rasuah sejak Disember lalu merupakan satu bukti kesan mesej Rasuah Busters mula tiba ke lapangan.

Jika setiap rakyat memainkan peranan penting dengan mengatakan ‘tidak kepada rasuah’ dan mengutamakan amalan berintegriti, sudah pasti kita boleh mencapai mesej Malaysia sebuah negara bebas rasuah.

Sehubungan dengan itu, Rasuah Busters telah menyediakan pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang untuk mencapai objektif teras yang telah ditetapkan.

Rasuah Busters berpegang kepada pendekatan bahawa usaha membanteras jenayah rasuah perlu bermula dari bawah sebab ia sudah berakar umbi dan sudah menjadi sebahagian dalam ekosistem masyarakat.

Sebagaimana ditekankan oleh Hussamuddin, dalam mesej pertama beliau pada 16 Januari 2021, Rasuah Busters merupakan sebuah ‘gerakan daripada rakyat untuk basmi rasuah demi rakyat’.

Rakyat sedar kesan buruk rasuah dan jika integriti diabaikan. Beberapa isu sejak kebelakangan ini secara langsung menunjukkan usaha ke arah membersihkan Malaysia daripada amalan rasuah dan tidak berintegriti semakin jelas.

Hanya rakyat yang boleh lakukan perubahan. Perubahan perlu bergerak dari bawah. Rasuah Busters mahu semua mengambil peranan menjadi mata dan telinga membasmi serta hapuskan rasuah.

Rasuah Busters mengajak orang ramai untuk terus berganding dan berkempen untuk menghapuskan rasuah.

Setiap individu bertanggungjawab untuk bersama-sama memerangi aktiviti tidak bermoral ini.

Reformasi ini mesti berlaku dan ia bermula dengan rakyat dan ia perlu bermula sekarang. Setiap agama mengajar nilai teras dalam kehidupan. Salah satu adalah menjauhi jenayah rasuah.

Merenung kembali pencapaian sepanjang 365 hari lalu, apa yang telah dilakukan hanyalah permulaan. Banyak yang perlu dilakukan.

Rasuah Busters memerlukan sumbangan, sokongan dan gandingan setiap rakyat tidak kira agama, kaum dan latar belakang.

Kami memerlukan mereka yang sanggup melawan gejala rasuah dan memerangi mereka terlibat dalam jenayah rasuah.

Rasuah Busters bangga kerana jenama ini sudah mula diterima rakyat.

Diharap kita boleh memperkukuh jenama ini, sekali gus membetulkan kekurangan dan kelemahan dalam sistem diri, organisasi dan kerajaan serta negara.

* Dr G Manimaran merupakan anggota Pasukan Teras Rasuah Busters