Penduduk perlu pulangkan wang pampasan jika mahu rumah PPR

Laporan Sinar Harian 4 Januari 2022.
Laporan Sinar Harian 4 Januari 2022.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sememangnya telah memperuntukkan unit kediaman kepada penduduk asal Kampung Kilat dan Kampung Telok untuk memiliki kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Setar, di sini.

Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ei bagaimanapun berkata, penduduk yang terlibat perlu memulangkan semula wang pampasan yang diambil daripada pihak pemaju sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan ada sebahagian bekas penduduk yang terlibat telah mengambil wang pampasan daripada pihak pemaju PPR ketika projek perumahan berkenaan ingin dilaksanakan.

"Berdasarkan makluman, ada bekas penduduk kampung berkenaan mengambil wang daripada pemaju projek perumahan namun jumlahnya tidak sama mengikut pilihan masing-masing

"Jadi, ada yang mengambil RM3,000, ada juga RM5,000 malah ada yang mencecah sehingga RM15,000," katanya kepada pemberita selepas Kempen Derma Darah di Kompleks City Plaza pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan bekas penduduk Kampung Kilat dan Kampung Telok yang menagih janji supaya mereka memiliki unit kediaman di PPR Kota Setar.

Menurutnya, disebabkan itu, penduduk terlibat perlu menyelesaikan urusan permohonan dengan pihak pemaju terlebih dahulu bagi membolehkan mereka mendapatkan unit kediaman yang diinginkan.

"Jadi, mereka perlu pulangkan wang berkenaan kepada pemaju bagi membolehkan pihak berkenaan membuat urusan permohonan kepada KPKT untuk dimasukkan dalam senarai penerima," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penduduk tidak perlu bimbang berhubung unit kediaman terbabit namun perlu menyelesaikan isu dengan pemaju berhubung wang pampasan yang diambil mereka sebelum ini.

Katanya, isu berkenaan menjadi masalah apabila penduduk telah membelanjakan wang mereka sekali gus gagal untuk memulangkan semula kepada pihak pemaju.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 59 keluarga yang merupakan penduduk asal Kampung Kilat dan Kampung Telok dekat sini, menagih janji daripada kerajaan serta pemaju untuk memiliki sebuah rumah di PPR Kota Setar.