Prosiding dalam talian dikekalkan

TENGKU MAIMUN
TENGKU MAIMUN
A
A
A

PUTRAJAYA – Berikutan pandemik Covid-19, prosiding secara dalam talian akan terus dikekalkan dan tiada persoalan untuk kembali kepada cara lama (prosiding secara fizikal).

Demikian kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkamah Persekutuan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, mahkamah maya kini telah menjadi aspek kekal dalam sistem advokasi negara.

Beliau berkata, badan kehakiman sentiasa meningkatkan kemajuan teknologi dan pendengaran dalam talian atau maya menandakan menuju ke arah kemajuan.

Kata Tengku Maimun, ia menekankan perubahan penting dalam undang-undang dengan mengetengahkan Seksyen 15A yang baharu dimasukkan dalam Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964.

Dengan merujuk kepada seksyen itu, beliau berkata, demi kepentingan keadilan, mahkamah boleh menjalankan prosiding apa-apa klausa atau perkara, sivil atau jenayah melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Seksyen 3 CJA 1964 pula mentakrifkan, teknologi komunikasi jarak jauh sebagai pautan video langsung, pautan televisyen langsung atau apa-apa cara komunikasi elektronik lain.

“Pindaan berbangkit juga telah dibuat kepada Akta Mahkamah Rendah 1948 yang menandakan bahawa pergantungan berterusan pada perbicaraan jarak jauh di Mahkamah Rendah, sebagai tambahan kepada Mahkamah Tinggi, akan tetap wujud tanpa mengira wabak itu," kata beliau ketika berucap di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Mahkamah Persekutuan, di sini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun

Seramai 430 jemputan mengikuti majlis ini iaitu 80 secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

Antara turut serta menerusi aplikasi Zoom ialah Ketua Mahkamah Agung Republik Indonesia; Profesor Dr Muhammad Syarifuddin; Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung Filipina, Alexander G Gesmundo dan Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut Tengku Maimun berkata, bagi menjayakan usaha itu, Badan Kehakiman melaburkan jumlah yang besar dalam teknologi penggunaan ‘hardware and software’

Menyentuh aspek ‘hardware’ beliau berkata, badan itu telah membeli skrin, peranti yang lebih mampan, menaik taraf mahkamah teknologi dan bilik mahkamah lain bagi menampung peningkatan pergantungan kepada sesi pendengaran dalam talian.

Katanya, kemudahan itu dilengkapi dengan peralatan video, sistem persidangan pengesanan suara dan set persidangan maya.

Menurutnya, bagi ‘software’ pula, badan berkenaan telah melabur dalam aplikasi Zoom untuk membolehkan lebih banyak pendengaran dan mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian.

Selain itu Tengku Maimun berkata, ia turut melibatkan perkhidmatan internet, menubuhkan pusat operasi rangkaian, pusat operasi keselamatan (bagi memantau mengekalkan kestabilan rangkaian, operasi dan keselamatan keseluruhan Mahkamah.

“Bagi kes melibatkan tahanan reman atau banduan, sesetengah penjara boleh menyokong pendengaran maya dengan menyediakan bilik khas.

“Bukti bahawa mahkamah sedang bergerak ke hadapan, kami sedang merumuskan arahan amalan baharu mengenai perbicaraan jenayah hibrid di mahkamah atasan dan rendah,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga berpendapat bahawa pendengaran secara maya memudahkan peguam tanpa perlu membuang masa untuk menempuhi perjalanan yang jauh.