Shebby peniup semangat Harimau Malaya

Serbegeth Singh
Serbegeth Singh
A
A
A

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Hassan Miskam yang pernah menjadi rakan sepasukan Serbegeth Singh atau dikenali Shebby, menyifatkan mendiang sebagai seorang yang sangat serius di atas padang dan sentiasa menjadi peniup semangat rakan sepasukan setiap kali perlawanan.

"Saya masih ingat pada perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan England di Stadium Merdeka (Kuala Lumpur) pada 1991, beliau (Shebby) pernah memarahi saya apabila tiada komunikasi dan saya ada buat kesilapan.

"(Tetapi) setiap kali saya main bagus atau berjaya menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi, dia akan bagi semangat, jadi orang pertama yang akan memuji tindakan saya. Pendek kata, dia macam peniup semangat kepada kita (ahli pasukan)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Shebby yang bermain di posisi pertahanan merupakan seorang yang serius dan teliti sekali gus menunjukkan betapa mendalamnya cinta beliau terhadap bola sepak.

Hassan merupakan pemain skuad Johor dari 1987 hingga 1993 dan pernah bermain dengan skuad kebangsaan beberapa tahun termasuk mewakili negara ketika Sukan SEA 1991.

Pada perlawanan persahabatan itu, Malaysia tewas 2-4 kepada England.

Dengan pemergian mendiang, Hassan berkata, dunia bola sepak kehilangan seorang penganalisis dan pencinta sukan yang sentiasa ikhlas dalam memberi pandangan demi memastikan sukan bola sepak yang dicintainya terus berkembang.

Sementara itu, rakan karib mendiang yang juga bekas pemain kebangsaan untuk pasukan Johor lewat 80-an, Lahat Dadok Sulik, 59, berkata, pemergian Shebby merupakan kehilangan besar buat arena bola sepak negara dan akan dirindui semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Lahat yang ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah, di sini pada Khamis berkata, beliau bermain dalam satu pasukan bersama Shebby selama tiga tahun sebelum mendiang berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Komen dia memang pedas dan terus terang tetapi di sebaliknya ada idea tersembunyi.

“Dia sangat tegas dan orangnya sangat baik, tidak lokek kalau ada orang susah, kalau ada majlis-majlis dia akan beri sumbangan,” katanya sambil menambah terkejut dengan berita pemergian mendiang selepas menerima beberapa gambar yang tular menerusi media sosial.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan Shebby, 61, meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, dekat sini kira-kira 7.30 malam. - Bernama