X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Serangan harimau: Penduduk diminta tidak keluar rumah

Mohd Syahbuddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada orang asli di Pos Bihai, Gua Musang.
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat orang asli di Pos Bihai, Belatin dan Balar yang terkesan dengan ancaman harimau belang ketika ini diminta tidak keluar dari kawasan perkampungan kerana bekalan makanan akan dihantar terus kepada mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim kepada, langkah itu dilihat tepat bagi mengelakkan masyarakat orang asli keluar dari kawasan perkampungan sekali gus boleh mendedahkan mereka kepada bahaya.

"Setiap 10 hari, pihak kami akan masuk ke kawasan yang terkesan untuk menghulurkan bantuan makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, sumber bekalan itu diperoleh dari pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik); Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan sebagainya bagi membantu masyarakat orang asli.

Beliau berkata, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Jakoa.

Mohd Syahbuddin berkata, usaha yang dilakukan merupakan salah satu bentuk mengurangkan perasaan resah dalam kalangan penduduk terlibat.

"Kita sentiasa pantau dan mengambil serius perkara ini kerana ia melibatkan soal nyawa," katanya.

Beliau berkata, berpandukan kepada maklumat semasa, terdapat tiga ekor harimau yang berada di kawasan berkenaan.

Mohd Syahbuddin berkata, harimau yang bertindak menyerang baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan penemuan terbaharu ketika ini.

"Melihat kepada tingkah laku itu, saya tidak menolak kemungkinan harimau belang yang kini berkeliaran di kawasan penempatan orang asli di Pos Bihai kemungkinan dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV).

"Virus ini menyebabkan tingkah laku hidupan liar itu berubah menjadi ganas sekali gus mengancam keselamatan nyawa," katanya.

Menurutnya, Pos Bihai merupakan kawasan paling banyak mempunyai harimau namun ia tidak menonjolkan diri.

Katanya, bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini hidupan liar tersebut keluar menghampiri penempatan manusia dan situasi itu amat merisaukan.

Sinar Harian pada 7 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki orang asli maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai di sini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!