X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Serangan harimau: 2,000 orang asli diberi kaunseling

Roslina (tujuh dari kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim (enam dari kanan) dan Choon Foo (dua dari kiri) semasa turun padang berjumpa penduduk orang asli di Pos Bihai, Gua Musang.
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan telah turun padang memberi khidmat kaunseling kepada kira-kira 2,000 orang asli di Pos Bihai dan Balar yang diselubungi ketakutan akibat serangan harimau.

Timbalan Pengarah, Roslina Bun berkata, khidmat kaunseling itu merupakan salah satu bentuk sokongan pihaknya kepada masyarakat orang asli supaya mereka tidak keseorangan dalam menghadapi ujian tersebut.

"Pada masa sama kata-kata nasihat dari segi penjagaan keselamatan turut diberikan kepada mereka supaya kembali bangkit.

"Hasil turun padang itu saya dapat melihat orang asli mulai bersemangat selepas meluahkan rasa takut mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, pada Ahad lalu Jakoa Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo telah ke lokasi untuk bertemu dengan orang asli bagi mendapatkan maklumat dan situasi terkini berkait dengan masalah itu.

"Menerusi kunjungan itu, Jakoa melihat penduduk di Kampung Bihai lama berada dalam ketakutan apabila terpaksa berkurung walaupun ketika pada waktu siang dan ada di antara mereka yang mengawal di sekitar kawasan rumah.

"Penduduk dilihat cukup terkesan dan takut dengan apa yang sedang berlaku, lebih-lebih lagi apabila harimau sudah berani memasuki kawasan rumah," katanya.

Katanya, apa yang berlaku sekarang ini sangat melemahkan semangat orang asli kerana mereka perlu berkurung dalam rumah, tidak dapat keluar ke kebun dan takut pada harimau.

"Bagi memastikan keselamatan orang asli sentiasa terjamin, Jakoa bersama Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) sentiasa bekerjasama mengawal pergerakan mereka.

"Kami dan Perhilitan mempunyai jadual tugasan khas untuk mengatasi isu ini. Pihak Perhilitan pula sentiasa melakukan rondaan di setiap kampung yang terlibat," katanya.

Sinar Harian pada 7 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki orang asli maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai di sini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!