Abang Viva bakal dapat pacuan empat roda

Azwan (kiri) dan Wan Siti Aisyah ketika ditemui semasa Majlis Penganugerahan Nona Superhero 2021 yang diadakan di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Azwan (kiri) dan Wan Siti Aisyah ketika ditemui semasa Majlis Penganugerahan Nona Superhero 2021 yang diadakan di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sukarelawan banjir yang dikenali sebagai ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar, 29, bakal menerima sebuah kenderaan pacuan empat roda pemberian daripada seorang usahawan produk kecantikan, Wan Siti Aisyah Wan Hasan.

Wan Siti Aisyah yang merupakan Pengarah Shalicious Empire Sdn Bhd berkata, proses pembelian kenderaan tersebut telah selesai dan hanya menunggu untuk diambil dan diserahkan kepada Azwan.

Menurutnya, pemberian tersebut dilakukan tanpa sebarang syarat.

“Terserah dia (Azwan) nak buat apa. Yang penting adalah kalau dia buat kerja amal, kita pun dapat manfaat,” katanya ketika ditemui Majlis Penganugerahan Nona Superhero 2021 yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Azwan telah menerima anugerah utama Nona Superhero 2021 yang turut diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Wan Siti Aisyah berkata, beliau tergerak untuk menghadiahkan kenderaan tersebut selepas tersentuh dengan keikhlasan dan ketulusan yang ditunjukkan Azwan dalam membantu mangsa banjir.

“Kita boleh lihat dia punya kesungguhan dan ketulusan. Saya tidak mampu nak buat macam itu, saya buatlah apa yang mampu dengan menghadiahkan kenderaan pacuan empat roda ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azwan berkata, dia sangat gembira dan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh orang ramai, termasuk Wan Siti Aisyah dalam membantu usahanya menjalankan kerja-kerja sukarelawan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan pemberian tersebut, beliau merancang untuk lebih kerap memberikan bantuan kepada orang ramai yang memerlukan, termasuk mereka terjejas akibat bencana.

Azwan yang berasal dari Melaka mendapat perhatian rakyat Malaysia kerana kesungguhannya membantu mangsa banjir dengan hanya berbekalkan RM50 dan menggunakan kereta jenis Perodua Viva serta sebuah bot.