Badan siasatan bebas mula bersidang

Dell Akbar
Dell Akbar
A
A
A

BADAN Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dipengerusikan Datuk Dell Akbar Khan telah bersidang buat kali pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya pada petang tadi.

Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat sulung badan siasatan bebas itu ialah membincangkan terma rujukan badan berkenaan dalam mengumpul dapatan dan menilai laporan prestasi pasukan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan.

Ahli-ahli badan bebas berkenaan yang hadir pada mesyuarat itu tadi terdiri daripada bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa.

Turut hadir bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam, bekas kapten Harimau Malaya, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O'Donell.

Pada 7 Januari lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengumumkan pelantikan Dell Akbar, bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur sebagai Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Penubuhan badan siasatan bebas itu bagi menjalankan bedah siasat laporan prestasi skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Kegagalan Harimau Malaya melepasi peringkat kumpulan pada kejohanan itu mendapat kritikan dan kecaman hebat daripada peminat, penyokong mahupun pengkritik bola sepak Malaysia.

Atas rasa tanggungjawab, Tan Cheng Hoe secara rasmi melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya pada awal minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020, skuad Harimau Malaya berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0.

Bagaimanapun, mereka tewas baki dua perlawanan Kumpulan B - masing-masing kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.