PM Britain kena jawab

Johnson (dalam bulatan) bersama isterinya, Carrie ketika menghadiri parti di sebuah taman di Downing Street. - Foto: Agensi
Johnson (dalam bulatan) bersama isterinya, Carrie ketika menghadiri parti di sebuah taman di Downing Street. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Anggota parti pemerintah, Parti Konservatif dan pihak pembangkang di Britain menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri, Boris Johnson selepas skandal parti melibatkan pemimpin itu ketika pelaksanaan langkah lockdown kembali mencalarkan imej beliau.

Timbalan Ketua Parti Buruh, Angela Rayner berkata, kedudukannya jelas tergugat jika Johnson berbohong tentang perkara itu setelah kebanyakan ahli politik menzahirkan kemarahan dan kebimbangan terhadap pelanggaran sekatan Covid-19 tersebut.

Difahamkan, Johnson dipanggil untuk menjawab segala persoalan yang bakal diajukan pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer ketika sidang mingguan di Parlimen pada Rabu.

Sehingga kini, pemimpin berusia 57 tahun tersebut bertindak mengunci mulut selepas pendedahan e-mel pada lewat Isnin yang mendakwa pembantu Johnson menjemput lebih 100 kakitangan Downing Street untuk menghadiri sebuah parti pada Mei 2020 malah mereka turut digalakkan membawa minuman alkohol sendiri.

Johnson bersama isterinya, Carrie didakwa antara yang hadir parti di taman Downing Street tersebut walaupun seluruh negara sedang berdepan langkah lockdown ketat pertama yang melarang sebarang penganjuran acara sosial termasuk majlis pengebumian.

Difahamkan, ia adalah skandal parti yang terbaharu selepas gambar memaparkan Johnson menghadiri acara sosial sama ketika lockdown pada Disember 2020 didedahkan media tempatan.

Foto yang menjadi tular itu telah mengundang kecaman orang ramai hingga menyebabkan tahap sokongan ke atas Johnson dan Parti Konservatif merudum selain menuntut pengunduran pemimpin tersebut.

Sebelum ini, beliau menafikan telah melanggar peraturan Covid-19, namun pendedahan skandal parti terbaharu tidak lagi dapat melindungi kesalahan itu.

Artikel Berkaitan:

Ia turut menjadi tajuk muka depan beberapa akhbar malah menerusi Daily Telegraph ia memaparkan ‘Johnson hilang sokongan Tory’ manakala DailyMail menyindir beliau dengan tajuk ‘Adakah parti sudah berakhir untuk PM?’.

Ketika ini, Polis Metropolitan London mengesahkan mereka sudah menghubungi pejabat kabinet tentang parti pada Mei 2020 dan terdapat kemungkinan berlaku siasatan jenayah yang lebih serius. - AFP