Piala FA kembali warnai Liga-M 2022

Aksi Piala FA 2019 yang menyaksikan Kedah muncul juara setelah menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional Bukti Jalil.
Aksi Piala FA 2019 yang menyaksikan Kedah muncul juara setelah menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional Bukti Jalil.
A
A
A

SETELAH ditangguhkan dalam dua edisi sebelum ini susulan Covid-19, saingan Piala FA akan kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2022 dengan penampilan format baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, aksi suku akhir dan separuh akhir hanya akan dijalankan sekali dan bukannya dua kali seperti sebelum ini.

“Liga-M 2022 bakal menyaksikan saingan Piala FA akan kembali dipertandingkan dengan durasi yang lebih singkat. Ia bagi memberikan peluang kepada pemain untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan.

“Ia termasuklah dari segi proses kuarantin yang perlu dilalui oleh pemain-pemain yang menyertai Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC,” katanya selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga-M 2022 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Untuk rekod, saingan Piala FA yang diperkenalkan sejak tahun 1990 terpaksa ditangguhkan pada 2020 dan 2021 ekoran penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada aksi Liga Super musim ini.

Stuart berkata, aksi yang akan menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala Malaysia, KL City FC itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Februari ini.

“Pada 26 Februari, perlawanan sumbangsih iaitu Piala Sultan Ahmad Shah sekarang bukan sebahagian daripada liga. Ia satu perubahan pertama yang saya perlu maklumkan.

Artikel Berkaitan:

“Perlawanan ini akan dimainkan di venue juara Liga Super, jadi ia akan berlangsung di Johor. Bagi memastikan perlawanan ini dilaksanakan dengan sempurna, MFL, JDT dan KL City akan bekerjasama.

“Kita akan pastikan pengendalian Piala Sumbangsih secara bebas di luar jadual liga untuk memastikan kelancaran liga tahun 2022 dilaksanakan dengan satu perlawanan pembuka tirai,” ujarnya.

Mengikut perancangan MFL, saingan Liga Super 2022 dijadualkan bermula pada 4 Mac manakala perlawanan pertama Liga Premier bakal diadakan mulai 5 Mac.