[VIDEO] HKL ambil tindakan ke atas pegawai farmasi

Perkhidmatan farmasi HKL tular pada Isnin.
Perkhidmatan farmasi HKL tular pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan mengambil tindakan ke atas pegawai yang didakwa biadab terhadap seorang pesakit yang berurusan di farmasi hospital berkenaan seperti tular di media sosial pada Isnin.

Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan berkata, ia merujuk aduan bertajuk 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak biadab menjawablah kau dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)'.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati terdapat kekeliruan antara pengadu dengan pegawai bertugas mengenai perkhidmatan MyUbat.

Beliau berkata, perkhidmatan tersebut tidak dapat dilaksanakan bagi ubat tertentu berikutan kekangan stok terhad.

"Justeru itu, bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal daripada tarikh pesakit menerima ubat tersebut.

"Perkhidmatan itu akan dapat dilaksanakan seperti biasa apabila stok bekalan ubat kembali normal," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, berhubung isu komunikasi, HKL telah mengenal pasti pegawai tersebut dan akan diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Tambahnya, pihak HKL akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian dilaporkan berlaku pada Isnin di Farmasi HKL apabila pegawai berkenaan telah meminta pesakit terbabit untuk mengambil sendiri ubatnya setiap dua minggu hingga Julai selepas perkhidmatan penghantaran ubat secara pos atau MyUbat tidak boleh digunakan.

Pesakit berkenaan kemudian cuba meminta penjelasan lanjut selain bertanya cara lain yang boleh digunakan bagi mengelaknya berulang-alik ke hospital memandangkan tinggal di Sungai Buloh.

Bagaimanapun, pegawai berkenaan membalas dengan jawapan 'not my problem' sebelum beredar menyebabkan pesakit tersebut melaporkan perkara itu kepada KKM untuk tindakan lanjut.