Warga emas cari lokan nyaris maut dibaham buaya

Mangsa dibaham buaya sempat diselamatkan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Mangsa dibaham buaya sempat diselamatkan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang lelaki warga emas berjaya menyelamatkan diri selepas kakinya dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Silabukan di sini pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lelaki berusia 70 tahun terbabit sempat diselamatkan oleh isteri dan lima rakannya yang turut berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama enam yang lain berjalan kaki di tepi sungai berkenaan untuk mencari lokan.

"Tiba-tiba seekor buaya naik ke tepi sungai dan membaham kaki mangsa. Namun dengan bantuan rakan-rakannya, mangsa berjaya diselamatkan dengan memukul bahagian kepala dan mata haiwan berkenaan.

"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan kanan dan perut dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Kata Rohan Shah, mangsa kemudiannya disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital terbabit.

Sebelum itu, satu video berdurasi tujuh saat tular di aplikasi WhatsApp memaparkan keadaan mangsa yang dibaham buaya dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan: