Jalan pantai Labuan bernilai RM125.5 juta dibuka 1 Februari

Jalan pesisir pantai bernilai RM125.5 juta yang menghubungkan beberapa kampung dan kawasan perumahan ke pusat bandar di dibuka secara rasmi untuk pengguna jalan raya pada 1 Februari depan.
Jalan pesisir pantai bernilai RM125.5 juta yang menghubungkan beberapa kampung dan kawasan perumahan ke pusat bandar di dibuka secara rasmi untuk pengguna jalan raya pada 1 Februari depan.
A
A
A

LABUAN - Jalan pesisir pantai bernilai RM125.5 juta yang menghubungkan beberapa kampung dan kawasan perumahan ke pusat bandar di sini dijadualkan dibuka secara rasmi untuk pengguna jalan raya pada 1 Februari depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan, Ir Suhaizad Sulaiman berkata, proses mewartakan jalan sepanjang 5.1 kilometer (km) dari Membedai ke Tanjung Aru itu sedang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya dan dijangka siap sebelum akhir bulan ini.

"Projek jalan pantai itu telah siap sepenuhnya pada 23 November 2021 dan sedia untuk digunakan bulan depan...jalan itu mesti terlebih dahulu diwartakan sebagai jalan awam sebelum ia boleh digunakan...ini adalah penting supaya ia dapat diselenggara secara berkala,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata, jalan itu akan menambah baik rangkaian perhubungan Labuan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Tun Mustapha.

Suhaizad berkata, projek itu yang mula dibina pada 19 Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya di pulau bebas cukai itu, seperti di Kampung Tanjung Aru, Nagalang, dan Kerupang 1, 2 dan 3.

Sementara itu, Senator Datuk Bashir Alias ​​berkata, jalan pesisir pantai itu diyakini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Mustapha menuju ke pusat bandar.

"Jalan pantai berkenaan membolehkan pemandu dan pelawat menikmati pemandangan yang indah dengan pemandangan laut yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu terutamanya pada waktu pagi.

"Saya optimis jalan itu akan memberi kesan langsung ke atas industri pelancongan Labuan, dengan lebih banyak projek berkaitan pelancongan akan dibina di sepanjang jalan pantai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan boleh merancang projek pembangunan pelancongan di sepanjang jalan pantai itu demi memanfaatkan ekonomi tempatan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!