Tiga lelaki kena saman ubai suai kereta

Abdul Majid (kanan) melihat salah sebuah kenderaan yang ditahan dalam operasi bersepadu itu.
Abdul Majid (kanan) melihat salah sebuah kenderaan yang ditahan dalam operasi bersepadu itu.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki dikenakan tiga saman polis kerana kesalahan mengubahsuai enjin kereta dalam operasi bersepadu Op Samseng Jalanan di sini, pada Sabtu lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai operator kilang berusia 25 tahun itu berkata, dia menerima tiga saman atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran 'fancy', ubahsuai enjin kenderaan dan lampu brek belakang tidak berfungsi.

Menurutnya, kerana minat dan mahu mengikut trend semasa, dia menggunakan kira-kira RM10,000 wang insurans yang diperoleh akibat kemalangan jalan raya serta wang simpanan untuk melakukan ubahsuai tersebut sebagai satu kepuasan.

"Saya baru setahun beli kereta hasil wang insurans yang diperoleh dan kerana minat nak cantikkan bahagian enjin, saya buat ubahsuai.

"Tapi bila dikenakan saman, saya menjadi serik dengan tindakan saya mengubah suai kereta. Ia nampak cantik tapi sebenarnya boleh membahayakan diri dan orang lain," katanya yang berasal dari Kedah.

Bagi seorang lelaki berusia 27 tahun pula, dia yang bercuti ke Melaka dengan menaiki kereta diubah suai juga tidak menyangka perbuatannya itu menyebabkan dia ditahan polis dan disaman.

Menurutnya, dia mengeluarkan modal beribu ringgit untuk mengubai suai ekzos kereta miliknya.

"Jumaat lalu saya tiba di Melaka telah dikenakan saman, semalam kami dalam perjalanan untuk pulang ke utara dikenakan saman lagi, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi seorang penuntut universiti tempatan pula, dia tidak menyangka kereta Proton Satria yang diubah suainya turut dikenakan saman.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali berkata, sebanyak 26 buah kenderaan ditahan di tiga lokasi berasingan di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dalam operasi bersepadu disertai Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula Sabtu lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu 11 kereta Proton Satria ditahan di sebuah inap desa di Sungai Putat, 10 buah kereta Honda ditahan di kawasan pakir Klebang, dan lima buah kereta Proton Satria ditahan di bulatan Gangsa, Alor Gajah.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 38 tahun dan jumlah saman polis yang dikeluarkan bernilai lebih RM7,000.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk pelbagai ubahsuai enjin kereta, ekzos bising dan kesalahan trafik," katanya.

Kesemua kenderaan tersebut ditahan untuk tindakan seterusnya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Alam Sekitar selain dikeluarkan kompaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).