KBS ajak syarikat korporat bantu atlet

Ahmad Faizal ketika sidang akhbar di Ipoh pada Isnin.
Ahmad Faizal ketika sidang akhbar di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat untuk menaja atlet berprestasi tinggi menjalani latihan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu dilihat mampu memberi peluang kepada lebih ramai atlet khususnya yang tidak ditawarkan kontrak oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut beliau, ketiadaan bajet daripada kerajaan menyebabkan sebahagian atlet tidak dapat menjalani latihan yang ditawarkan oleh MSN seperti sebelum ini.

"Jika ada duit saya mahu tolong semua orang tetapi keadaan sekarang tidak mengizinkan. Saya akan meneruskan inisiatif seperti podium ini melalui apa yang ada. Kita cuba menjimatkan perbelanjaan dan menyelamatkan seberapa banyak atlet yang boleh.

"Kita harap orang ramai, syarikat-syarikat swasta dan korporat jika nak selamatkan atlet berprestasi tinggi terlibat terus dalam program podium. Inilah masanya untuk kita menaja pemain," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, keputusan memilih atlet yang akan mengikuti latihan di bawah MSN ditentukan oleh persatuan-persatuan sukan dengan perbincangan bersama atlet.

Menurutnya, pemilihan atlet pula berdasarkan ukuran prestasi mereka pada tahun 2018 dan bukan dalam tempoh dua tahun sebelum ini ketika pandemik Covid-19.

"Saya harap semua faham apabila kita nak menetapkan siapa yang layak dalam program. Kami di KBS melalui MSN perlu berunding dengan mengadakan libat urus dengan persatuan sukan. Menteri tidak terlibat langsung.

Artikel Berkaitan:

"Persatuan akan buat keputusan sama ada pemain tersebut akan terus mewakili negara begitu juga dengan jurulatih siapa akan dikekalkan atau sebaliknya. Menteri antara yang terakhir bersama rakyat dapat tahu (atlet yang terpilih)," katanya.

Mengenai kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Ahmad Faizal berkata, sebarang keputusan mengenai isu tersebut diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk membuat keputusan.

Katanya, kuasa penuh diberikan kepada PJS untuk mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Pada Ahad, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin menggesa PJS segera memberikan maklum balas terhadap notis aduan rasmi yang dihantar oleh ahli-ahli gabungan persatuan itu pada 9 Disember 2021 bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk bola sepak negeri itu.