Kerajaan Kelantan kekal bebas rasuah

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan kekal dengan imej bersih dan bebas rasuah selepas 32 tahun memerintah Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kepimpinan berlandaskan Islam menjadi pegangan pentadbiran kerajaan negeri selain mengikut model amalan integriti terbaik bekas Menteri Besar sebelum ini yang juga bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut beliau, walaupun Kelantan tidak sehebat negeri lain seperti dalam aspek pertumbuhan ekonomi tetapi kerajaan negeri masih dapat mengawal integriti khususnya kakitangan awam dan individu dalam lantikan politik.

Ahmad (dua dari kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin (kiri) dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf (kanan) menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kepada Nor Azariza Mohd Alawi (dua, kanan) pada Isnin.
Ahmad (dua dari kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin (kiri) dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf (kanan) menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kepada Nor Azariza Mohd Alawi (dua, kanan) pada Isnin.

“Setakat ini, Alhamdulillah bebas rasuah, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram dan kita doa keadaan bertambah baik,” katanya kepada sidang selepas menyampaikan Watikah Pelantikan pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Menurut Ahmad, latar belakang pendidikan agama daripada madrasah oleh sebahagian besar kepimpinan di negeri itu turut menjadi penyumbang kepada sebuah kepimpinan berintegriti tinggi.

“Rakyat tidak berpuas hati jika pemimpin terlibat rasuah dan salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengamalkan kaedah sentiasa memberi amanat dan peringatan supaya saling mengingati nilai murni dan Islam serta meninggalkan perkara yang dilarang,” katanya.

Katanya, kepimpinan yang berintegriti tinggi itu turut menjadi ikutan kepada pegawai dan kakitangan bawahan dalam pentadbiran di negeri itu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ahmad berkata, sejumlah 24 individu menerima Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPKB-BRI.

“Lima mereka merupakan Ahli Majlis MPKB-BRI yang baharu manakala selebihnya disambung tugas dan berperanan dalam membuat dasar kepada MPKB-BRI,” katanya