Terpaksa pakai baju biasa ke sekolah

Banjir yang melanda Mentakab baru-baru ini menyebabkan kebanyakan barangan termasuk pakaian seragam dan peralatan persekolahan mangsa tidak dapat diselamatkan.
Banjir yang melanda Mentakab baru-baru ini menyebabkan kebanyakan barangan termasuk pakaian seragam dan peralatan persekolahan mangsa tidak dapat diselamatkan.
A
A
A

TEMERLOH - Banjir yang melanda Mentakab baru-baru ini menyebabkan kebanyakan barangan termasuk pakaian seragam dan peralatan persekolahan mangsa tidak dapat diselamatkan.

Penduduk, Zainudin Zainon, 41, dari Taman Sempalit di sini berikutan itu berkata, dua anaknya yang berusia 12 dan lapan tahun terpaksa memulakan hari pertama persekolahan pada Isnin dengan pakaian biasa.

"Syukur mereka memahami situasi banjir yang dihadapi dan tetap bersemangat kembali ke sekolah.

"Memang tiada apa yang dapat diselamatkan dan banjir kali ini sangat teruk dan menjejaskan kami," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Zainudin yang merupakan seorang pemandu antara ibu bapa yang ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor di sini.

Sekolah tersebut juga antara pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditenggelami banjir pada 19 Disember lalu.

Sementara itu, suri rumah, Siti Norhidayah Khamis, 34, dari Kampung Gajah Mati di sini berkata, dua anaknya yang berusia 12 dan lapan tahun rasa janggal dan malu kerana tidak dapat berpakaian seragam seperti biasa.

"Bagaimanapun, mereka tetap pergi ke sekolah hari ini (Isnin). Saya sedikit lega walaupun rumah masih belum siap dibersihkan lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pekerja swasta, Rosliana Rosli, 37, pula mengakui kesibukan membersihkan rumah di Kampung Lubuk Cemas di sini yang ditenggelami banjir baru-baru ini menyebabkan dia hampir terlupa membeli keperluan persekolahan anak-anaknya.

"Lega dapat menyediakan keperluan mereka walaupun masih sibuk membersihkan rumah," ujarnya.

Sementara tukang rumah, Mohd Faizal Affendi, 35, berkata, dia tetap berusaha mendapatkan keperluan persekolahan anaknya yang berusia enam tahun walaupun masih sibuk membersihkan rumah.

Dalam pada itu, salah seorang murid, Nashrizan Adzlan, 12, mengakui malu kerana terpaksa berpakaian biasa ke sekolah, bagaimanapun tetap bersemangat kembali berjumpa rakan-rakan untuk meneruskan sesi persekolahan.