Empat inisiatif bantuan mangsa banjir diterima mulai esok

Ismail Sabri menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Konvensyen Bera pada Ahad.
Ismail Sabri menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Konvensyen Bera pada Ahad.
A
A
A

BERA - Empat inisiatif bantuan yang diumumkan kerajaan kepada semua mangsa banjir sebelum ini akan diterima mulai Isnin.

Pembayaran inisiatif itu melibatkan sumbangan pembelian barang keperluan sebanyak RM2,500, rebat belian barang elektrik (RM500), rebat baik pulih dan penggantian baharu kenderaan (RM1,000) dan bantuan baik pulih rumah di bawah RM5,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang mengalami kerosakan barangan termasuk kenderaan dan peralatan rumah akibat bencana itu baru-baru ini.

Beliau berkata, kaedah pembayaran bantuan tunai bagi pembelian barang keperluan itu akan diserahkan kepada pejabat daerah sama ada dihantar ke rumah, agihan secara berkumpulan atau melalui akaun bank.

"Pihak pegawai daerah juga telah diminta untuk menyenaraikan kedai elektrik dan bengkel kenderaan terdekat bagi membantu mangsa banjir di daerah-daerah terlibat membuat pembelian serta pembaikan.

"Bagi bantuan membaik pulih rumah melibatkan kos di bawah RM5,000, kerajaan sudah mengenal pasti senarai penerima seluruh negara. Pembayaran akan dibuat secara tunai mengikut tahap kerosakan dialami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Khas Banjir Kumpulan Terakhir Bagi Daerah Bera di Dewan Konvensyen Bera di sini pada Ahad.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, semua bantuan diumumkan sebelum ini perlu disegerakan tanpa karenah birokrasi.

Artikel Berkaitan:

"Memang bantuan ini tidak mampu untuk menggantikan kerugian dialami, namun sekurang-kurang dapat meringankan beban ditanggung," ujar beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga kini seramai 42,901 daripada 45,474 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah menerima Bantuan Wang Ihsan RM1,000.

"Bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS, seramai 8,631 daripada 9,203 KIR telah menerima bantuan tunai tersebut.

"Secara keseluruhan, pembayaran bantuan wang ihsan ini sudah hampir selesai, namun sekiranya masih ada yang tercicir, mereka diminta segera melaporkan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah untuk tindakan segera," katanya.