Dua wanita maut nahas tiga kenderaan

Pihak bomba berada di lokasi kejadian bagi operasi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan di simpang Taman Semarak, Jalan Kuhara Tawau.
Pihak bomba berada di lokasi kejadian bagi operasi mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan di simpang Taman Semarak, Jalan Kuhara Tawau.
A
A
A

TAWAU - Dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang Taman Semarak, Jalan Kuhara, di sini, petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa Suwati Sugio, 50, dan seorang lagi dikenali sebagai Nurfaizah, 20, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan dua pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser serta Toyota Revo.

Katanya, ketika kejadian pemandu Proton Saga lelaki berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah Jalan Chong Thein Vun menuju ke Taman Semarak.

"Ketika sedang masuk simpang, kenderaan Toyota Land Cruiser yang datang dari arah Gudang 4 cuba mengelak namun akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu terbabit melanggar bahagian depan Proton Saga.

"Akibat kejadian itu, pacuan empat roda terbabit terbabas lalu terseret memasuki laluan bertentangan sejauh kira-kira 26 meter sebelum bertembung dengan sebuah lagi kenderaan lain iaitu Toyota Revo," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Tambah beliau, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang di dalam kenderaan Toyota Land Cruiser maut manakala selebihnya cedera.

"Tiga mangsa yang cedera masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tawau manakala empat yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Peter berkata, siasatan lanjut kemalangan itu mendapati berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga ketika masuk ke simpang jalan.

"Pemandu ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.