500 panggilan kes buli siber diterima setiap bulan: MMHA

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KES buli siber terutama di media sosial dilaporkan semakin meningkat dan membimbangkan, khususnya melibatkan remaja dan golongan muda di Malaysia.

Perkara itu didedahkan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) berdasarkan 500 panggilan yang diterima pihaknya setiap bulan melalui talian bantuan atau helpline bagi sebarang aduan dan intervensi yang dikendalikan persatuan itu.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, bagi menangani masalah tersebut, MMHA bercadang mewujudkan talian bantuan khusus bagi menangani kes sedemikian.

“Talian bantuan ini bukan sahaja bagi membolehkan mereka membuat aduan tetapi untuk kami menyiasat dan mengesan jika ia boleh memberikan kesan psikologi kepada mangsa.

“Melalui talian bantuan yang ada sekarang, ia hanyalah saringan. Biasanya setelah menceritakan masalah dihadapi, kami akan menentukan apakah mereka memerlukan kaunseling. Jika perlu, berapakah sesi kaunseling yang diperlukan.

“Kita juga boleh mengesan sekiranya pemanggil itu memerlukan intervensi lebih daripada itu dan kita akan mengesyorkan jika mereka memerlukan kaunseling atau ubat-ubatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau, talian bantuan berkenaan amat penting kerana berdasarkan kebanyakan kes dikendalikan, mereka berterima kasih kerana mendengar luahan.

“Mereka memerlukan seseorang untuk mendengar dan meluahkan rasa kecewa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Andrew Mohanraj
Dr Andrew Mohanraj

Dr Andrew yang juga pakar perunding kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam isu kesihatan mental dan ketagihan turut mendedahkan bahawa hampir satu pertiga golongan dewasa serta remaja pernah mengalami buli di media sosial bermula dari tahap rendah ke tahap parah.

Menurutnya, komen di media sosial yang menyinggung perasaan dan dirasakan tidak wajar dilakukan kepada individu lain juga boleh dianggap sebagai buli.Jelas Dr Andrew lagi, pembuli menggunakan platform media sosial untuk merendahkan harga diri sasaran mereka, seterusnya melemahkan atau menjejaskan integriti, kewibawaan orang atau kelompok yang disasarkan.

Katanya, sasaran golongan itu boleh jadi kepada seorang individu, kelompok, kumpulan dan organisasi dengan melontar kata-kata kesat, kasar atau berkongsi gambar atau maklumat peribadi tentang orang dan kelompok disasarkan.

“Mereka yang komen untuk menegur adalah tidak salah kerana dalam negara demokrasi, setiap orang ada hak untuk menegur atau memberikan komen tetapi ia harus berasaskan kepada fakta dan lebih penting lagi adalah niat seseorang itu.

“Tetapi berbeza dengan pembuli, golongan ini adalah seorang yang pengecut kerana lazimnya kita tidak mengetahui identiti mereka.

“Dalam isu ini, sangat jelas bahawa niat mereka yang membuli itu bukanlah untuk menegur, memberikan komen atau melepaskan geram,” katanya.

Cemar nama baik

Tambah beliau, tidak semestinya buli berdasarkan kepada fakta tidak sempurna dan berita tidak betul atau memfitnah kerana terdapat kes berasaskan fakta atau gambar tulen tetapi kerana niat pembuli untuk mencemarkan nama baik sasaran berkenaan.

Beliau turut menjelaskan, tidak semestinya pembuli mempunyai masalah psikologi tetapi faktor psikologi boleh mendorong seseorang untuk menjadi pembuli.

“Kesan jangka panjang terhadap mangsa boleh mengakibatkan mereka rasa rendah diri sehingga mempengaruhi keperibadian, cara berinteraksi dengan masyarakat dan boleh menjejaskan pencapaian akademik atau di tempat kerja,” katanya.

Malah menurut Dr Andrew, mangsa boleh mengalami kesan psikologi seperti kemurungan, depresi, kecelaruan, keresahan dan boleh mendorong mereka menggunakan bahan larangan seperti dadah atau alkohol sebagai cara untuk mengatasi kesan buli.

“Dalam kes yang saya kendalikan, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun hampir membunuh diri disebabkan menjadi mangsa buli di media sosial kerana diejek gemuk.

“Kanak-kanak dan remaja biasanya menderita dalam diam kerana ada perkara yang mereka simpan dalam hati dan masalah itu tidak diketahui oleh ibu bapa,” ujarnya.

Penguatkuasaan

Dr Andrew berkata, setiap orang terdedah kepada risiko buli selagi dia mempunyai akaun media sosial.

Bagi mengelakkan atau mengurangi masalah itu, beliau menyarankan agar setiap individu sentiasa berfikiran positif dan ‘bermuka tebal’, selain mengehadkan penggunaan media sosial.

“Gunakan untuk diri sendiri, bukan untuk tunjukkan kepada dunia luar. Jika kita bermotif untuk tunjuk kepada dunia luar, kita kena sedia menerima ‘padahnya’, apatah lagi bagi orang kenamaan, selebriti atau orang dikenali.

“Bagi selebriti dan ahli politik yang biasa berdepan masalah sebegini, disarankan agar tidak membalasnya kerana itulah yang diharapkan pembuli. Kalau tiada reaksi, mereka pun tidak lagi ghairah membuli.

“Namun, jika berasakan kenyataan atau komentar itu sebagai teguran semata-mata atau berasaskan marah mereka waktu itu, tidak salah menerimanya kerana kita harus memberi ruang kepada netizen meluahkan perasaan dan memberi komen,” katanya.

Kepada mangsa buli, Dr Andrew menyarankan agar mangsa membuat tangkap layar dan mencetaknya untuk disimpan sebagai bukti yang boleh dikemukakan kepada pihak berwajib jika tindakan undang-undang diambil.

Bagi kanak-kanak dan remaja, katanya, mereka perlu memaklumkan kepada keluarga terdekat, rakan-rakan dan individu boleh dipercayai agar tindakan selanjutnya boleh diambil.

“Sebenarnya kita mempunyai saluran aduan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, namun tidak ramai yang tahu.

“Bagi saya, kempen perlu dipergiatkan agar orang ramai tahu kes buli siber terutama di media sosial adalah serius.

“Saya juga rasakan undang-undang sedia ada tidak terlalu ketat menyebabkan kes sebegini terus berlaku. Tindakan tegas perlu diambil agar orang ramai gerun dan takut untuk melakukannya,” ujar beliau.