Warga emas korban pertama banjir di Johor

Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat kira-kira 50 meter daripada lokasi terakhir dilaporkan hilang.
Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat kira-kira 50 meter daripada lokasi terakhir dilaporkan hilang.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang warga emas menjadi korban pertama bencana banjir di negeri ini selepas ditemui lemas dalam satu kejadian di Kampung Serakek di sini, pada Jumaat.

Mangsa, Gan Ai Boon, 63, ditemui kira-kira jam 5.40 petang selepas dilaporkan keluar dari rumah untuk ke kebun miliknya pada jam 3 petang pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hazim Abd Razak berkata, mangsa dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus ketika sedang melintas satu laluan yang masih dinaiki air di kawasan berkenaan.

“Ketika kejadian, memang terdapat arus akibat daripada limpahan tali air di kawasan berkenaan. Mangsa dipercayai merentas laluan itu menggunakan motosikal sebelum terjatuh dan dihanyutkan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.49 petang (Jumaat) sebelum operasi pencarian dimulakan dari kawasan motosikal mangsa ditemui,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Muhammad Hazim berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter daripada lokasi pencarian dimulakan.

“Operasi pencarian dilakukan dengan kaedah surface searching daripada lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang. Kita percaya ketika kejadian semalam, arus di laluan berkenaan agak kuat.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi pencarian melibatkan seramai sembilan anggota dengan bantuan dua jentera dan sebuah bot ringan.