Pascabanjir: Selangor lulus lebih RM40 juta peruntukan segera

Amirudin pada sidang media khas pascabanjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
Amirudin pada sidang media khas pascabanjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih RM40 juta peruntukan segera diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor bagi pemulihan dan pengukuhan sungai serta cerun dan tebing jalan yang terjejas ekoran banjir di negeri itu bulan lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu adalah hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Khamis yang antara lain meluluskan peruntukan sebanyak RM9.18 juta bagi 13 projek kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

“Ini membabitkan usaha pengukuhan tebing sungai, pembinaan ban sungai, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad, pembelian set penjana mudah alih serta penambahan sistem amaran banjir di kawasan titik penting,” katanya pada sidang media khas pascabanjir pada Jumaat.

Beliau juga berkata, sebanyak RM31.7 juta diluluskan oleh kerajaan negeri kepada Jabatan Kerja Raya Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun dan tebing jalan agar laluan yang ditutup dapat dilalui semula.

Amirudin berkata, segala usaha pemulihan dan pembaikan sungai dan infrastruktur yang sebahagiannya telah dimulakan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi.

Beliau juga berkata, setakat Khamis, sebanyak 908 rumah di lapan daerah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dibina baharu.

“Kita telah mengenal pasti sebanyak 876 rumah memerlukan baik pulih, manakala 32 buah lagi perlu dibina baharu.

“Kerajaan negeri akan meneliti senarai penuh yang sedang dimuktamad dan mengumumkan usaha bantuan kepada keluarga-keluarga ini dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Amirudin berkat,a pembinaan semula rumah yang hanyut akibat banjir akan turut dilaksana secara bersama oleh Lembaga Zakat Selangor dan kerajaan Persekutuan.

Mengenai operasi pembersihan pasca banjir, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan semua kerja terbabit akan selesai hujung bulan ini.

“Fasa pertama kutipan sisa banjir diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya 14 Januari disusuli dengan fasa kedua pembersihan selama dua minggu yang melibatkan pembersihan kawasan dan longkang tersumbat akibat sampah yang hanyut sewaktu banjir,” katanya. - Bernama