Khutbah Jumaat di Selangor tegas isu rasuah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah adalah sangat berbahaya dan merupakan bala besar kerana memudaratkan masyarakat, orang Islam serta meletakkan pengurusan dan pentadbiran menjadi tidak stabil.

Perkara itu ditegaskan menerusi khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor pada Jumaat.

Menurut teks khutbah berkenaan, rasuah berlaku dalam semua urusan termasuklah urusan kehakiman, tanah, percukaian dan zakat, malah dalam perkara yang melibatkan agama dan orang agama.

"Oleh itu, ALLAH mengharamkan rasuah dan melaknat pelakunya kerana bahayanya yang besar, maka tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh mengambilnya.

"Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh juga seseorang pegawai mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga daripadanya," jelas teks khutbah tersebut.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa menyiasat, menyoal siasat dan menangkap pelaku-pelaku rasuah dari sektor awam dan swasta.

Jelas teks khutbah itu lagi, kesalahan merangkumi perbuatan memberi dan menerima wang suapan, peras ugut, percubaan rasuah, penyalahgunaan kedudukan, rasuah menerusi agen, sehinggalah rasuah dalam perolehan awam dan pilihan raya.

"Para ulama menjelaskan bahawa pengertian al-rasyi adalah orang yang memberi rasuah sedangkan al-murtasyi bererti orang yang menerimanya.

Artikel Berkaitan:

"Laknat itu ditimpakan kepada orang yang menyuap kerana dengan perbuatan itu ia menyakiti orang lain, dan mendapatkan sesuatu yang bukan haknya.

"Laknat juga dikenakan kepada al-murtasyi iaitu orang yang mengambil rasuah, juga menimpa al-ra'isy, iaitu orang tengah yang menjadi perantaraan antara keduanya," katanya.

Menurut teks khutbah tersebut, apabila bercakap tentang rasuah, seseorang pekerja seolah-olah tidak boleh terlepas daripadanya, umpama dikatakan 'mustahil untuk tidak mengecap rasa madu atau racun yang berada di hujung lidah' maka mustahil bagi kakitangan kerajaan untuk tidak menjamah hasil pendapatan kerajaan.

"Seperti mana kita tidak pasti sama ada ikan dalam air menelan air atau tidak, begitu juga sukar untuk kita mengenal pasti sama ada seseorang kakitangan kerajaan itu mengambil wang kerajaan untuk diri mereka sendiri atau tidak.

"Sebahagian orang menggunakan pangkat dan jabatannya untuk mengaut keuntungan kebendaan misalnya dengan mensyaratkan imbalan dalam pelantikan pangkat seseorang atau dalam memindahkan pegawai dari satu daerah ke daerah lain dan yang seumpamanya," jelasnya.

Menurut teks khutbah itu, pada masa kini, rasuah sudah menjadi kebiasaan umum dan bagi sebahagian pegawai, rasuah menjadi pendapatan yang hasilnya lebih banyak daripada gaji diperoleh.

Katanya, berbagai urusan perniagaan atau urusan lainnya, hampir semua dimula dan diakhiri dengan tindakan rasuah.

"Ini tentunya merugikan orang miskin, kerana rasuah menjadikan undang-undang dan peraturan sudah tidak berguna lagi.

"Yang berhak digantikan dengan orang yang tidak berhak. Kerana rasuah, wang yang semestinya milik mereka yang bekerja, tetapi bertukar kepada orang lain yang mengautnya," katanya.

Menurut teks khutbah itu lagi, amalan rasuah juga melibatkan orang-orang agama, sedangkan mereka mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar tetapi kerana habuan dunia itu mengasyikkan maka hilanglah sikap amanah, jujur dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari selama ini.

Katanya, orang yang diharapkan dapat menjaga maruah diri dan agama bahkan sentiasa menyeru masyarakat dalam melakukan kebaikan boleh hanyut dan melanggar larangan ALLAH SWT.

"Malah, pendedahan SPRM mengenai pembabitan orang agama daripada agensi kerajaan terlibat kes rasuah adalah sesuatu yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku. Pegawai dan kakitangan agensi agama tidak terkecuali daripada terpalit dengan kes rasuah.

Menerusi teks khutbah tersebut, rasuah mestilah dibanteras oleh pemerintah dengan mengenakan hukum yang lebih tegas agar mereka menjadi gerun dan takut.

Dalam menangani kes rasuah pemerintah hendaklah lebih terfokus kepada langkah pencegahan sebelum terjadinya kes jenayah rasuah tersebut, katanya.

"ALLAH berfirman dalam al-Quran bahawa ada seorang alim, mereka mengakui kebenaran Muhammad SAW, tetapi disebabkan rakus terhadap dunia, mengikut hawa nafsu, ingin kekuasaan dan kekayaan, syaitan telah menggoda mereka hingga tergelincir daripada agama yang benar," ujar teks khutbah tersebut.