Perasaan Kimberly bercampur baur, disebut pengganti Jun Hoong

Kimberly Bong Qian Ping - Foto Bernama
Kimberly Bong Qian Ping - Foto Bernama
A
A
A

PERASAAN bercampur baur, ada rasa teruja, ada juga rasa gementar.

Demikian boleh dirumuskan perasaan atlet terjun muda negara, Kimberly Bong Qian Ping apabila namanya disebut sebagai antara yang berpotensi mengisi kekosongan ditinggalkan juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu menghargai peluang diberikan bagi menggantikan Jun Hoong.

“Saya gembira berada dalam senarai berpotensi tetapi (saya merasakan) tekanan pada masa sama kerana saya sudah lama tidak bertanding.

“Tapi saya bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kimberly, yang kali terakhir beraksi pada Siri Dunia Terjun FINA 2019 di China berkata buat masa ini beliau lebih menumpukan kepada acara 1m dan 3m papan anjal individu wanita.

“Sebenarnya, saya lebih suka acara 10m platform individu tetapi bukan dalam masa terdekat. Saya juga tidak kisah untuk bertanding dalam kedua-dua acara (10m platform dan 3m papan anjal),” katanya.

Kimberly, yang menyasarkan pingat pada penampilannya di Sukan SEA Hanoi, Vietnam, pada Mei ini, turut berharap dapat mewakili negara ke Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom (Julai) diikuti Sukan Asia di Hangzhou, China (September).

Artikel Berkaitan:

Pelajar tahun pertama di Universiti Malaya (UM) itu dijangka pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu kiri yang dialami pada tahun 2019.

Menurut Setiausaha Agong Persatuan Renang Malaysia (MS) Mae Chen, Nur Dhabitah Sabri dan seorang lagi penerjun muda, Elisha Rania Abrial Rajagopal juga berada dalam radar bagi menggantikan Jun Hoong yang mengumumkan persaraan pada Selasa (4 Januari) lepas, setelah lebih dua dekad menceburi sukan itu sejak tahun 1999.

Nur Dhabitah yang sering beraksi dalam acara 3m papan anjal juga tidak asing dalam acara platform apabila beliau dan penerjun berpengalaman Leong Mun Yee meraih pingat gangsa acara 10m platform seirama di Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Selain memenangi gangsa di Grand Prix Terjun FINA 2016 di Australia, Kimberly juga pernah mewakili Malaysia ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, dan menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam aksi final 10m platform individu wanita.

Sementara Elisha pula, pernah bergandingan dengan Kimberly pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 dan meraih pingat emas acara 10m platform seirama wanita. - Bernama