Thailand naikkan amaran Covid-19 ke tahap empat

Thailand menaikkan amaran Covid-19 dari tahap tiga ke tahap empat sebagai usaha membendung lonjakan kes akibat varian Omicron.Gambar hiasan
Thailand menaikkan amaran Covid-19 dari tahap tiga ke tahap empat sebagai usaha membendung lonjakan kes akibat varian Omicron.Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand menaikkan amaran Covid-19 dari tahap tiga ke tahap empat sebagai usaha membendung lonjakan kes akibat varian Omicron.

Langkah itu dibuat ketika Thailand mencatat peningkatan kes secara mendadak sejak awal tahun ini.

Thailand melaporkan 5,775 kes baharu dan 11 kematian dalam tempoh 24 jam lepas, kira-kira 48 peratus peningkatan berbanding Rabu.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 mencecah 2,245,250 kes dan 21,780 kematian.

Di bawah amaran tahap empat, kerajaan mungkin mengenakan semula peraturan lebih tegas termasuk penutupan premis berisiko tinggi, sekatan terhadap perhimpunan awam dan perjalanan domestik bagi membendung penularan kes Covid-19.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) pada Jumaat dan pendekatan baharu dijangka diumumkan.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Dr Kiattiphum Wongrajit berkata, bilangan kes baharu meningkat secara mendadak.

“Gelombang baharu Covid-19 telah melanda dengan kes baharu merebak dengan cepat.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, kita perlu meningkatkan amaran kepada tahap empat, lebih banyak sekatan dan penarikan balik akan diumumkan bagi membendung penularan jangkitan,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Opas Karnkawinpong memberi amaran jumlah kes baharu Covid-19 boleh mencecah 10,000 sehari.

Beliau menggesa orang ramai menangguhkan perjalanan yang tidak penting.

Sementara itu, Prayuth menggesa orang ramai supaya yakin dengan sistem kesihatan awam Thailand bagi menangani gelombang baharu itu.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth menyeru orang ramai supaya tidak panik.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan telah siap siaga menangani penularan dan memantau keadaan.

“Orang ramai yang telah menerima dua dos vaksin digalakkan mendapatkan dos penggalak di fasiliti perubatan berhampiran.

“Kakitangan perubatan dan petugas barisan hadapan, serta kumpulan berisiko yang telah mendapat suntikan dos penggalak lebih tiga bulan mungkin diberi dos keempat vaksin Covid-19 untuk mencegah varian Omicron,” katanya. - Bernama