Zaman glamour dah lama berlalu: Adam AF

Adam AF2
Adam AF2
A
A
A

SUATU ketika dahulu nama bintang ini pernah melonjak naik dan imej bandangan menjadi ikutan remaja pada era itu.

Biarpun gemerlapan sinaran bintang tersebut seperti malap di persada seni hiburan, namun itu tidak bermakna Adam sudah mengundurkan diri sepenuhnya dari bidang seni.

Pemenang tempat ketiga program realiti televisyen Akademi Fantasia musim kedua ini sibuk dengan komitmen lain seperti menguruskan perniagaan selain masanya banyak dihabiskan dengan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Imejnya juga sudah berubah iaitu kadang kala dilihat selesa berserban dan berjubah meskipun ada kalanya juga bergaya ranggi.

Bertemu dengan Adam baru-baru ini, terus ditanya mengenai penglibatan dalam dunia seni yang seolah-olah sudah lama ditinggalkan.

Akui Adam, kemunculannya ibarat tenggelam timbul dan dia kini menyanyi hanyalah untuk mengubati rindu.

“Saya akui di penghujung 2010 karier nyanyian saya sudah sedikit perlahan kerana saya mengambil keputusan untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Saya tidak menyesal meninggalkan dunia glamour tersebut malah lama kelamaan saya dapat rasakan kemanisan iman. Jiwa saya juga semakin tenang. Sukar untuk saya gambarkan kemanisannya apabila kita dekat dengan Tuhan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh sebab itulah akhirnya saya jadi jarang muncul sebagai penyanyi," tuturnya ramah seperti dahulu.

Walau bagaimanapun, sebagai anak seni, dia tidak mampu untuk melupakan terus dunia hiburan.

Oleh yang demikian, pada tahun lalu Adam telah muncul dengan single terbaharu. Bukan serius namun sekadar suka-suka.

"Tahun ini saya sekali lagi tampil dengan lagu baharu berjudul Menanti Mu ciptaan saya sendiri. Penghasilan lagu ini saya anggap sebagai hobi dan bukan lagi untuk mencari nama seperti dahulu. Masa itu dah lama berlalu," jelasnya sambil tersenyum.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu dirinya, Adam turut berkongsi bahawa dia mempunyai pekerjaan tetap dengan membuka bisnes sendiri iaitu perdagangan dan pembiayaan yang membawa masuk pelabur luar negara untuk membiayai projek-projek yang ada.

Adam juga masih lagi membuat rawatan alternatif. Dia berkebolehan merawat individu yang terkena sihir dan gangguan ilmu hitam.

Katanya ilmu yang diterima itu mahu digunakan untuk membantu orang ramai atas rasa tanggungjawab. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mempunyai kuasa menyembuhkan penyakit.

“Saya pun tak tahu apa yang menarik minat untuk mendalami ilmu alternatif ini. Mungkin kerana hati saya digerakkan oleh ALLAH SWT.

“Bila sibuk dengan dunia, kita tak tahu bagaimana nak buat amal kebaikan? Jadi saya fikir, mungkin dengan ilmu pinjaman ini saya dapat membantu orang lain," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Adam, ada juga di kalangan artis yang berubat dengannya tetapi dirahsiakan nama mereka.

Adam AF2 atau nama lengkapnya Mohd Aizam Mat Saman, berkata, mula menceburkan diri dalam bidang perubatan alternatif berasaskan Islam sejak sembilan tahun lalu.

Sasar kahwin lagi

Mengakui kehidupan solo agak sunyi, Adam mensasarkan untuk berumah tangga sekali lagi pada hari ulang tahun kelahirannya, 19 September tahun ini.

Begitu pun, dia masih belum mempunyai calon suri hati.

"Saya masih belum ada pasangan. Insya-ALLAH doakanlah sebab saya target 19.09.2019 untuk kahwin lagi.

"Kalau ada di depan mata, saya akan pinang terus kalau dah berkenan," akui Adam tersenyum.

Adam ditemui pada perjumpaan sembang media bersempena Konsert Reunion AF2 yang bakal berlangsung pertengahan tahun ini.