Anggota APM terselamat kejadian bot karam di Sungai Tembeling

Tangkap layar rakaman video detik yang sempat dirakam selepas bot dinaiki mangsa karam di Jeram Panjang, Sungai Tembeling, Jerantut pada Rabu.
Tangkap layar rakaman video detik yang sempat dirakam selepas bot dinaiki mangsa karam di Jeram Panjang, Sungai Tembeling, Jerantut pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN- [DIKEMAS KINI] Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jerantut berdepan detik cemas apabila bot panjang yang dinaiki karam ketika melalui kawasan berarus deras di Jeram Panjang, Sungai Tembeling, Jerantut pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, tiga anggota terbabit, Roslan Abu Kassim, Ahmad Turmizi Abu Kassim dan Belandak Bajak menaiki bot persendirian dalam perjalanan ke kampung orang asli Kampung Aur.

Mereka yang juga anggota Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam Komuniti (CDERT-C) Kuala Tahan terlibat ditugaskan untuk menghantar bakal makanan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Jerantut untuk penduduk kampung berkenaan.

Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA),Che Adam A Rahman berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, bot dinaiki mereka dimasuki air ketika melalui kawasan berarus deras sebelum tenggelam.

Menurutnya, dalam kejadian itu anggota terbabit dihanyutkan arus sejauh kira-kira 500 meter namun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing berhampiran Kampung Dedari yang merupakan penempatan orang asli suku Bateq.

"Ketika kejadian, semua anggota memakai jaket keselamatan dan tahu berenang.

"Kejadian menimpa anggota APM itu disedari penduduk dan mereka segera membantu setelah semuanya selamat tiba ke tebing," katanya.

Che Adam berkata, bot bersama enjin dan bekalan makanan yang dibawa tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Anggota terlibat merupakan petugas yang diarahkan untuk menghantar bakul makanan Jakoa untuk diagihkan kepada penduduk orang asli suku Bateq di Kampung Teresek, Tabung, Dedari dan Aur.

"Penghantaran turut melibatkan bakul makanan yang disediakan kepada keluarga orang asli dari Kampung Aur yang berlindung di Kampung Dedari akibat gangguan gajah liar," katanya.

Che Adam berkata, kejadian yang berlaku di luar jangkaan kerana anggota berkenaan terlatih dan memiliki kemahiran mengendalikan bot.

"Mereka juga sudah beberapa kali melaksanakan misi penghantaran bantuan makanan melalui sungai sebelum ini.

"Dengan pengalaman dan kemahiran dimiliki mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, anggota terbabit dikenang sebagai Adiwira Prihatin Musibah atas pengorbanan yang ditunjukkan demi membantu menyalurkan bantuan kepada penduduk orang asli.