Ulang kaji 3 jam sehari rahsia kejayaan

Jia Wen (kiri) menerima slip keputusan SPM daripada Guru Penolong Kanan SMKTAB, Rosizan Md Yusuf.
Jia Wen (kiri) menerima slip keputusan SPM daripada Guru Penolong Kanan SMKTAB, Rosizan Md Yusuf.
A
A
A

KLUANG - Anak seorang pengusaha bengkel di bandar Kluang yang memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 memperuntukkan masa tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran.

Lee Jia Wen, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara (SMKTAB) berkata, setiap hari bermula jam 8 hingga 11 malam, dia akan menggunakan masa tersebut untuk mengulangkaji pelajaran selain melakukan latih tubi.

"Saya mula jadikan ulang kaji ini sebagai rutin harian sejak saya menjejakkan kaki ke tingkatan lima selain memberikan tumpuan penuh kepada sesi pengajaran dan pembelajaran yang diajar oleh guru di sekolah.

"Tuisyen yang disediakan oleh pihak sekolah sebanyak tiga hari dalam seminggu juga turut membantu saya melakarkan sejarah gemilang kepada sekolah ini," katanya ketika ditemui di SMKTAB, di sini, semalam.

Jelas anak ketiga daripada empat beradik itu, dia juga akan memastikan dirinya sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang selain berterima kasih kepada guru-guru yang mendidiknya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Ishak Mahbob melalui kenyataannya berkata, seramai 3,670 calon yang mengambil peperiksaan SPM 2018 berbanding 4,153 calon pada 2017

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 70 calon memperoleh keputusan semua A berbanding 79 calon pada 2017 dengan peratusan lulus sebanyak 85.86 meningkat kepada 1.99 peratus berbanding 83.87 peratus.

"Gred Pencapaian Sekolah pula meningkat 0.1 peratus kepada 4.89 berbanding 4.99 pada tahun 2017," katanya.

Artikel Berkaitan: