49 individu terima SKM industri halal

No Image Caption
A
A
A

Kelebihan persijilan kemahiran ini ialah ia diiktiraf industri di Malaysia dan berupaya menyediakan laluan kerjaya yang menarik.

Seramai 49 individu berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dari pelbagai sektor dalam industri halal melalui fasilitasi yang disediakan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) bagi industri halal yang dilantik oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JPK dibawah Pelan Induk Latihan dan Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia 2008-2020, HDC menyediakan program fasilitasi Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) bagi membantu personel yang berkelayakan dan mempunyai kompetensi dalam bidang halal untuk mendapatkan pensijilan SKM.

SKM merupakan pensijilan rasmi kebangsaan yang di keluarkan oleh kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi program kemahiran yang ditawarkan oleh Penyedia Latihan sama ada awam atau swasta yang telah ditauliahkan oleh JPK.

Pensijilan ini menyediakan pembangunan kerjaya serta diri yang menarik setanding dengan pembangunan kerjaya berasaskan kelayakan akademik dan diberikan kepada individu yang telah mencapai kompetensi tertentu dalam melaksanakan tugasan ataupun aktiviti kerja dalam bidang tertentu.

HDC sebagai ILB halal berperanan untuk meningkatkan pembangunan industri halal melalui pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi melalui Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS). NOSS berperanan sebagai garis panduan dalam menentukan tahap kompetensi personel serta kemahiran tenaga mahir bidang halal.

HDC merupakan agensi dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerajui pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal bersepadu dan komprehensif terus komited untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir yang terlatih dan berkelayakan bagi mempertingkatkan daya saing industri halal tempatan di pasaran dunia.

Artikel Berkaitan: