Sasar 40,000 individu bekerja sendiri daftar SKSPS Padanan Caruman

Farihah (kanan) menyerahkan faedah pengurusan mayat dan faedah pencen penakat kepada Ahmad Zamri serta dua anaknya.
Farihah (kanan) menyerahkan faedah pengurusan mayat dan faedah pencen penakat kepada Ahmad Zamri serta dua anaknya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menyasarkan lebih 40,000 individu bekerja sendiri akan menikmati bantuan caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Padanan Caruman pada tahun ini.

Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, insentif caruman 80 peratus daripada pelan kedua SKSPS itu layak dimohon oleh lapan kumpulan sasar iaitu orang kurang upaya (OKU), pekerja sektor gig, usahawanita, orang asal, sektor pelancongan, pertanian dan kesenian.

“Melalui inisiatif ini, caruman sebanyak RM186.20 akan ditanggung oleh kerajaan manakala 20 peratus lagi iaitu RM46.60 perlu dibayar oleh pencarum bagi mendapat perlindungan Perkeso selama setahun.

“Jadi, saya harap mereka yang bekerja sendiri termasuk wartawan dapat mengambil peluang mencarum di bawah SPS Padanan Caruman kerana banyak faedah bakal diperoleh antaranya faedah hilang upaya dan pencen faedah orang tanggungan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada suami wartawan Sinar Harian, Rubiah Omar yang meninggal dunia pada 24 Disember lalu di Kampung Gong Pak Maseh, di sini pada Selasa.

Melalui faedah itu, suaminya, Ahmad Zamri Sulong layak menerima pencen penakat berjumlah RM1,644 sebulan seumur hidup manakala dua anaknya, Muhammad Zulfan Fauzan, 9, dan Muhammad Zulfadhli Firdaus, 7, sehingga berusia 21 tahun.

Selain itu, Farihah berkata, Perkeso Terengganu telah melunaskan bayaran faedah berjumlah RM15.5 juta kepada penerima yang layak dalam tempoh Januari hingga November tahun lalu.

Jelas beliau, jumlah bayaran itu melibatkan 6,906 kes di seluruh Terengganu yang berjaya diproses agensi tersebut sepanjang tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Bayaran faedah ini melibatkan penerima bagi kes Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zamri ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Perkeso.

“Faedah pencen penakat ini sedikit sebanyak dapat membantu kami sekeluarga terutama dalam aspek pendidikan dua anak kami,” katanya.

Rubiah meninggal dunia kerana ketumbuhan dalam kepala kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Kampung Gong Pak Maseh.

Allahyarham menderita ketumbuhan dalam kepala sejak tahun 2016 dan sering mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).